"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akhirnya Jawatankuasa fatwa Perlis mengisytiharkan ajaran yang dibawa GISBH adalah sesat

SITI NUR ZAWANI

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis hari ini mengisytiharkan kepercayaan dan ajaran dibawa Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Dalam mesyuarat khas yang diadakan, jawatankuasa berpendapat ajaran GISBH adalah kesinambungan dari ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Selain itu jawatankuasa memutuskan bahawa pegangan kumpulan GISBH yang mengkultuskan pemimpin mereka atau tokoh-tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan setaraf Nabi Muhammad atau mempunyai keajaiban mengetahui perkara yang ghaib, adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, kesan dan akibat daripada pengkultusan itu melahirkan ketaksuban yang melampau sehingga mentaati pemimpin atau golongan agama sekalipun jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah

“(Kesan yang lain, ahli jemaah) Mengikut secara membuta tuli dan mematuhi arahan pemimpin atau golongan agama sekalipun bercanggah dengan ajaran Islam.

“Mengambil keberkatan secara melampau dari sisa tubuh-badan pemimpin mereka.

“Mewujudkan hukum-hakam syarak yang baharu untuk menjustifikasikan aktiviti mereka yang bercanggah dengan syarak iaitu hukum-hakam solat, pernikahan (munakahat) dan juga muamalat,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu Mohd Asri berkata, setelah meneliti cara pengoperasian aktiviti ekonomi GISBH, Jawatankuasa menyimpulkan model ekonomi yang diamalkan bukanlah model ekonomi Islam yang sebenar, bahkan ia bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam. 

Ini kerana ia mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.

“Dengan ini segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISBH adalah dilarang.
“Jawatankuasa juga mencadangkan masyarakat Islam membantu pemulihan ahli-ahli GISBH yang ingin keluar dari kesesatan ini. 

“Peruntukan zakat juga boleh digunakan untuk membantu pemulihan mereka seperti pembiayaan pendidikan yang betul, pembinaan semula kehidupan, perlindungan keselamatan, bantuan guaman yang mempunyai kaitan untuk pembebasan diri dari GISBH dan pembiayaan dakwah pemurnian akidah,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan, peruntukan zakat di bawah fi sabilillah, al-riqab dan fakir miskin boleh digunakan untuk tersebut.

Malah menurutnya, masyarakat Islam perlu mengambil sikap positif dalam usaha membantu bekas-bekas ahli GISBH untuk keluar dari belenggu kesesatan.

“Sekolah yang mempunyai manhaj pengajian Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar hendaklah membantu mengambil anak-anak GISBH ini untuk diberikan pendidikan yang sepatutnya.

“Badan-badan swasta juga boleh membantu untuk memberi peluang pekerjaan supaya mereka dapat hidup seperti masyarakat Islam yang lain.

“Dalam masa yang sama semua pihak hendaklah sama-sama memantau bagi memastikan mereka tidak kembali kepada ajaran sesat tersebut,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: