"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Faiz Fadzil: Isu judi jadi alat politik tapi jenayah berleluasa di negeri PAS

Malaysiakini 

PAS tidak berpijak pada realiti apabila mencabar kerajaan pusat untuk mengharamkan pusat perjudian sedangkan berdiam diri ketika berada dalam kerajaan.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Muhammad Faiz Fadzil, berkata malah ketika PAS dalam kerajaan cabutan khas loteri juga meningkat daripada 8 kepada 22.

"Sememangnya judi haram di sisi agama Islam, dan sebab itu kerajaan mengharamkan semua bentuk perjudian ke atas orang Islam.

"Tetapi PAS lupa bahawa judi bukan faktor tunggal berlakunya gejala jenayah dan penyakit sosial. PAS hanya menggunakan judi sebagai alat politik untuk menunjukkan parti itu berjuang Islam, sedangkan jenayah lain terus berleluasa di negeri tadbir PAS atau SG4 tanpa perkara ini dibangkitkan di dalam muktamar PAS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, kepimpinan PAS menyatakan komitmen untuk menutup premis perjudian termasuk kasino terbesar besar Asia Tenggara di Genting Highland sekiranya parti itu berjaya menawan Pahang pada PRU ke-16.

Bagaimanapun Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Andansura Rabu berkata, perkara itu perlu merujuk kepada lunas undang-undang dan bidang kuasa kerajaan negeri.

“Dalam aspek itu kita perlu melihat kepada lunas undang-undang, kalau kita ada kuasa di peringkat negeri, kalau kita boleh buat, kita akan buat.

“Contohnya (kasino) di Genting Highland kemungkinan kuasa itu tidak mutlak kepada kita, perlu persekutuan sekali, maka itu mungkin kita tak boleh buat.

“Tetapi (kalau) dalam mana-mana dalam ruang lingkup bidang kuasa kita, kita akan melihat perkara-perkara yang mendatangkan keburukan kepada rakyat kita akan ambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya pada sidang media sempena Muktamar PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di Kerdau, Temerloh.

Sementara itu, Faiz turut mempersoalkan PAS adakah jenayah selain judi tidak dianggap sebagai kesalahan syarie.

"Ironinya, negeri tadbir PAS atau SG4 adalah antara yang tercorot dalam konteks banduan sabitan, kes jenayah, keganasan rumah tangga dan tangkapan kes dadah.

"Data Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa kes jenayah keseluruhan pada tahun 2022 di Kedah melonjak lebih 22 peratus dan di Kelantan hampir 10 peratus.

“Kadar ini adalah tertinggi di Semenanjung Malaysia di mana majoriti negeri mencatatkan penurunan kes jenayah. Kes di Selangor dan Pulau Pinang masing-masing berkurang hampir 13 peratus dan 10 peratus pada tahun sama.

"Dalam konteks jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol, samun dan sebagainya, Kedah mendahului carta di Semenanjung Malaysia dengan peningkatan kes sebanyak 22 peratus pada tahun 2022," katanya lagi.

Tambah Faiz lagi berdasarkan statistik bilangan banduan sabitan tahun 2022 berbanding populasi, empat daripada lima negeri teratas adalah dipimpin oleh PAS.

Jelas Faiz, hakikatnya PAS telah gagal mengawal selia kualiti pemimpin dan peningkatan kes jenayah dan penyakit sosial ini melambangkan kelemahan pemimpin PAS mentadbir SG4 dengan baik.

Tiada ulasan: