Juwan Riduan
KENINGAU: Mayat lelaki yang reput dan berulat ditemui di kawasan cerun di kilometer 67.7, Jalan Tulid – Tongod berhampiran kawasan estet Kampung Nontodon, Sook, semalam.
Mayat mangsa ditemui pada jam 8.16 pagi oleh orang awam sebelum dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supritenden Yampil Anak Garai yang mengesahkan penemuan itu berkata, hasil pemeriksaan awal mengenal pasti mangsa adalah seorang warga asing berumur 45 itu telah reput dan berulat.
Katanya, mayat mangsa yang lengkap berpakaian itu ditemui di kawasan semak samun di dalam cerun sedalam kira-kira 10 kaki.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan pergelutan atau senjata termasuk kayu dan besi yang dikesan di tempat mayat ditemui.
“Kawasan penemuan juga sangat terpencil kira-kira tiga kilometer dari penempatan penduduk di paling hampir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemui beg pinggang berisi wang tunai Filipina dan wang syiling Malaysia dipercayai milik mangsa.
“Anggaran tempoh kematian menerusi penelitian awal adalah sekitar seminggu,” katanya.
Sementara itu, Yampil berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu mendapati terdapat kesan luka di belakang kepala mangsa dipercayai kesan gigitan ulat semasa proses pereputan.
Katanya, pihak forensik turut mengesahkan punca kematian mangsa adalah atas faktor penyakit dalaman dan bukan disebabkan oleh kejadian serangan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan