"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Trauma: Sembilan taring ular sawa tembus kaki, lilit badan hingga paras dada

Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my
mangsa ular sawa, Abdul Rafka Azka Abdullah menerima sembilan gigitan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
mangsa ular sawa, Abdul Rafka Azka Abdullah menerima sembilan gigitan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Pekan : "Saya takut setiap kali teringatkan detik ular sawa menggigit kaki kemudian membelit badan saya hingga paras dada menyebabkan saya sukar bernafas," kata Abdul Rafka Azka Abdullah, 10.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Khamis lalu, Abdul Rafka hampir maut apabila digigit serta dibelit ular sawa batik yang menyerangnya di Kampung Temai Tengah, di sini.

Usaha menyelamat dilakukan abang dan bapa saudaranya yang mengambil masa kira-kira 30 minit.
 
Serangan ular sawa sepanjang kira-kira enam meter dan berat 40 kilogram itu menyebabkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Agas, di sini menerima rawatan selama lima hari di Hospital Pekan.

Abdul Rafka Azka berkata, gigitan ular sawa itu menyebabkan bahagian pergelangan kaki kanannya kini masih bengkak walaupun tidak sakit, namun terpaksa menerima rawatan dalam tempoh panjang kerana doktor bimbang berlaku jangkitan kuman.

Menurutnya, setiap kali teringatkan kejadian itu, perasaan takut dan berdebar muncul terutama apabila berhadapan detik cemas reptilia itu menggigit dan membelit badannya hingga paras dada. Pada masa yang sama ekor ular itu hampir masuk ke dalam hidungnya.

"Saya bersyukur Allah masih memberi saya peluang untuk terus bernyawa. Sekiranya lambat bantuan daripada abang dan bapa saudara mungkin saya kini sudah tiada. Belitan ular sawa itu kuat hingga menyebabkan saya tidak dapat bernafas dengan lancar dalam masa kira-kira 30 minit.

"Saya bernasib baik apabila sembilan taring ular sawa yang menggigit pergelangan kaki saya tidak sampai ke bahagian tulang, hanya menembusi bahagian daging termasuk jari saja," katanya selepas menerima kunjungan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Pekan, Norbaizura Abdul Latiff di Kampung Sekukuh, di sini.

Bapa mangsa, Abdullah Mohd Sara, 48, berkata, semalam anaknya menjalani rawatan mencuci kesan gigitan ular sawa berkenaan di Hospital Pekan dan minggu depan doktor pakar tulang akan membuat pemeriksaan lanjutan bagi menilai tahap kecederaan seterusnya rawatan selanjutnya.

Katanya, Abdul Rafka sepatutnya memasuki sekolah minggu ini, namun tidak dapat berbuat demikian selepas doktor memberi cuti rehat selama sebulan bagi memastikan kecederaan yang dialami sembuh sepenuhnya.

"Saya bersyukur kecederaan yang dialami Abdul Rafka tidak terlalu serius cuma membabitkan luka taring digigit ular sawa berkenaan. Terdapat sembilan lubang kesan taring yang hampir terkena tulang kaki.

"Sekiranya bantuan lambat diberikan saya percaya nyawa anak saya akan melayang, selepas menggigit ular sawa itu bertindak membelit hingga paras dada anak saya hingga menyebabkan dia lemah apabila tidak dapat bernafas dengan lancar," katanya yang bekerja sebagai nelayan pantai di Kampung Sekukuh.

Sementara itu, Norbaizura berkata, pihaknya memberi bantuan segera berupa wang tunai selain makanan dan barangan kepada mangsa bagi meringankan beban keluarga mangsa.

"Kes kanak-kanak digigit dan dibelit ular sawa amat jarang berlaku, justeru saya nasihat pada ibu bapa supaya pantau aktiviti anak mereka dan pastikan mereka tidak bermain di kawasan paya yang terdedah dengan serangan ular sawa dan serangga berbisa," katanya.

Tiada ulasan: