"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Warga emas maut digilis bas ketika melintas jalan

Nazdy Harun
Warga emas maut dalam kemalangan berhampiran laluan masuk Terminal Bas MBKT.- Foto PDRM
KUALA TERENGGANU: Warga emas maut digilis sebuah bas ketika melintas jalan berhampiran laluan masuk Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Jalan Masjid Abidin, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Mat Ghani Mamat, 77, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dalam kemalangan jam 12.28 tengah hari itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika bas berkenaan sedang membelok ke kanan untuk memasuki laluan terminal.

Beliau berkata, secara tiba-tiba mangsa melintas dari kiri ke kanan jalan.

“Akibat jarak terlalu dekat, pemandu bas berusia 66 tahun itu tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa.

“Bas terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Besut menuju ke Terminal Bas MBKT, manakala mangsa pula datang dari arah sebuah kedai makan menuju ke terminal berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, kejadian berlaku di jalan berselekoh, manakala bas terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut.

Tiada ulasan: