"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sindiket seludup Pati guna dron, media sosial elak dikesan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) kini menggunakan dron untuk mengesan pergerakan pasukan keselamatan, kata Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain.

Selain dron, beliau berkata, sindiket turut menggunakan media sosial untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Tegasnya, sindiket sentiasa menukar laluan, masa dan kaedah, oleh itu strategi penguatkuasaan PGA juga perlu sentiasa disesuaikan.

“Modus operandi sindiket ini memang berubah mengikut keadaan dan tahap kawalan di sempadan. Selain menggunakan Sungai Golok dan pangkalan haram, kita kini mengesan pergerakan yang beralih kepada laluan laut, sungai-sungai kecil dan Sungai Kelantan bagi mengelak dikesan.

“Selepas masuk ke Malaysia, Pati akan dibawa ke lokasi transit sebelum dihantar menggunakan kenderaan persendirian, e-panggilan atau pengangkutan awam ke destinasi masing-masing.

“Kita juga mengesan pembabitan ejen, tekong dan runner tempatan yang menguruskan pergerakan mereka,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, antara cabaran utama dihadapi PGA ialah Sungai Golok yang panjang serta bentuk muka bumi luas dan kompleks, termasuk hutan, kebun, lorong tikus dan banyak laluan tidak sah yang menyukarkan pergerakan penyeludup serta Pati dikesan.

“Selain itu, faktor keselamatan anggota juga perlu diberi perhatian berikutan kemungkinan mereka mempunyai senjata.

“Bagaimanapun, perkara ini tidak menghalang Briged Tenggara PGA daripada terus melaksanakan tugas. Sebaliknya, kita perlu sentiasa menyesuaikan strategi, memperkukuhkan risikan dan meningkatkan kerjasama antara agensi.”

Tiada ulasan: