Harapandaily
Belum pun genap tiga bulan mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan, Umno kini dilaporkan berpecah kepada tiga kem yang masing-masing mempunyai calon tersendiri untuk menduduki kerusi Menteri Besar, ketika krisis antara kerajaan negeri dengan Istana masih belum menemui penyelesaian.
Menurut laporan akhbar Singapura, The Straits Times bertarikh 28 Oktober, persaingan itu membabitkan kem Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim; Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; serta Mohd Asna Amin kem yang dikaitkan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Akhbar berkenaan melaporkan ketiga-tiga kem sedang berusaha mendapatkan sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bagi merealisasikan hasrat masing-masing.
Ismail yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu dilaporkan berusaha mempertahankan kedudukannya, meskipun hubungannya dengan Istana semakin tegang.
Menurut akhbar itu, Ismail berharap baginda membenarkannya terus menerajui pentadbiran sekiranya beliau menarik balik pendirian bertarikh 17 September yang mengiktiraf dakwaan bahawa takhta Yang di-Pertuan Besar telah kosong.
Sementara itu, Jalaluddin pula dilaporkan mendakwa mempunyai sokongan majoriti daripada keseluruhan 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Memetik sumber dalam kalangan pemimpin kanan politik, The Straits Times mendedahkan bahawa Pengerusi Umno negeri itu telah menghadap Tuanku Muhriz pada 9 Oktober lalu, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada beliau sedang berusaha mendapatkan perkenan untuk menggantikan Ismail.
Dalam perkembangan sama, nama ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin turut muncul sebagai calon Menteri Besar yang dilaporkan menjadi pilihan Zahid.
Bagaimanapun, Asna mempunyai isu tersendiri apabila beliau merupakan antara 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang pelantikannya dibatalkan oleh Istana pada 20 September lalu susulan pertikaian berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.
Laporan akhbar Singapura itu turut memetik seorang sumber yang mendakwa Ismail mempertahankan tindakannya dalam kemelut Istana dengan alasan hanya melaksanakan arahan kepimpinan tertinggi parti.
“Ismail tetap bertegas bahawa beliau sekadar mengikut arahan daripada kepimpinan tertinggi parti,” kata sumber berkenaan kepada The Straits Times, menurut terjemahan laporan tersebut.
Menariknya, ketiga-tiga pemimpin itu bukan nama baharu dalam percaturan jawatan Menteri Besar. Selepas kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos, nama mereka telah dikemukakan untuk pertimbangan Tuanku Muhriz sebelum baginda akhirnya memperkenankan pelantikan Ismail.
Bagaimanapun, beberapa hari selepas mengangkat sumpah, Ismail menandatangani dokumen proklamasi yang mendakwa baginda bukan lagi pemerintah negeri, sebelum membuat laporan polis dengan alasan beliau dipaksa menandatanganinya.
Ketegangan semakin memuncak apabila Ismail kemudiannya menyokong pendirian Exco negeri yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz. Jabatan Peguam Negara bagaimanapun menegaskan bahawa tindakan menyingkirkan baginda tidak mengikut peruntukan perlembagaan negeri.
Malah, pada 16 Oktober lalu, Tuanku Muhriz secara terbuka menegur Ismail ketika bertemu di sebuah masjid di Kuala Pilah.
“Selagi dia tidak tarik balik apa yang dia kata, jangan datang jumpa saya. Pergi, jangan jumpa saya, saya tidak mahu jumpa kamu, faham?” titah baginda dalam rakaman video yang tular, sekali gus memperlihatkan ketegangan hubungan antara Menteri Besar dengan Istana.
Bagaimanapun, Jalaluddin sebelum ini menafikan sebarang usaha untuk menjatuhkan Ismail, termasuk melalui usul undi tidak percaya. Pada 10 Oktober lalu, beliau menegaskan bahawa tiada masalah kepimpinan dalam Umno Negeri Sembilan.
“Biar Ismail buat kerja beliau sebagai menteri besar, dan saya sebagai ketua parti akan buat kerja sebagai ketua parti,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiakini.
Ismail pula pada 27 Oktober menafikan khabar angin kononnya beliau akan meletakkan jawatan, sebaliknya menegaskan masih mempunyai sokongan penuh 24 ADUN kerajaan yang lain.
“Itu semua khabar angin sahaja. Memang banyak khabar angin yang tersebar tetapi saya mendapat sokongan penuh ADUN kerajaan,” katanya, sambil menegaskan tumpuan beliau adalah memastikan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 dapat dibentangkan pada 27 November ini.
Apa yang pasti, laporan mengenai persaingan tiga kem itu muncul ketika kerajaan Negeri Sembilan masih beroperasi tanpa barisan Exco selepas pelantikan 10 anggotanya dibatalkan lebih sebulan lalu.
Walaupun masing-masing dikaitkan dengan sokongan politik berbeza, pelantikan Menteri Besar tetap tertakluk kepada peruntukan perlembagaan negeri dan pertimbangan Yang di-Pertuan Besar mengenai siapa yang mendapat kepercayaan majoriti ADUN.
Persoalannya, mampukah Umno menyelesaikan kemelut kepimpinannya sendiri ketika krisis Istana yang dijanjikan untuk diselesaikan selepas PRN lalu masih berlarutan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan