"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ayam direndam air panas sampai mati, sembelihan 6.5 tan dirampas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lebih 6.5 tan ayam mentah disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut syarak dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong. 

Turut ditahan dalam Ops Taring Chiller ialah 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan dipercayai terlibat aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di premis berkenaan.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Mohd Zaki Ashar, berkata serbuan pada 12.40 tengah malam itu mendapati premis terbabit disyaki dijadikan lokasi penyembelihan, pemprosesan, dan pengedaran ayam segar tanpa sijil halal sah.

Katanya, pemeriksaan awal menemukan proses pengendalian dan penyembelihan ayam yang menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak serta status halal produk berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati ayam dipercayai melalui proses rendaman air panas sehingga mati sebelum proses penyembelihan dilakukan,” katanya menurut Bernama.

Operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Alam Sekitar serta Pejabat Kesihatan Petaling.

“Semua 6.5 tan ayam mentah di dalam 468 bungkus plastik itu dianggar bernilai RM85,400.

“Bekalan diperoleh dari beberapa ladang ayam di sekitar Sepang manakala ayam yang telah diproses dipercayai diedar kepada pelanggan termasuk kedai makan, kedai runcit dan pasar raya sekitar Lembah Klang.”

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(A) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Semua warga asing pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Tiada ulasan: