NURUL IZZATI ZAINI

Aksi tular seorang individu disyaki menjalankan kegiatan mencuri kabel di Bulatan Kampung Pandan, semalam.
KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan berhubung video tular memaparkan seorang lelaki disyaki memotong kabel di bawah jejambat berhampiran Bulatan Kampung Pandan, di sini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya telah membuat laporan polis selepas mengambil maklum mengenai hantaran yang tular menerusi aplikasi Threads itu.
“Untuk makluman, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah membuat laporan polis berhubung hantaran Threads berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular rakaman memaparkan seorang lelaki berada di bawah struktur jejambat sebelum dilihat menarik dan memotong kabel yang tergantung di kawasan berkenaan.
Berdasarkan hantaran pengguna media sosial terbabit, kejadian didakwa berlaku berhampiran sebuah bank di Bulatan Kampung Pandan kira-kira pukul 4.52 petang semalam.
Pemilik akaun itu kemudian memaklumkan dia melalui semula lokasi berkenaan kira-kira pukul 5.19 petang dan mendapati lelaki tersebut sudah tiada.
“Baru lalu semula 5.19 petang. Dah licin dah kabel bawah-bawah tu. 30 minit je buat kerja, tinggal kabel berjuntai.
“Siapa-siapa yang lalu nanti cubalah ambil gambar sikit,” katanya.
Rakaman tersebut turut menunjukkan lelaki berkenaan melakukan perbuatan itu secara terbuka ketika kenderaan sedang melalui kawasan berkenaan.
Di ruangan komen, pengguna media sosial rata-rata terkejut dengan tindakan lelaki berkenaan yang didakwa dilakukan ketika keadaan jalan raya masih sibuk.
“Kalau semua kenderaan di situ bunyikan hon tanpa henti mesti dia bengang dan panik. Masa inilah sepatutnya korang gunakan hon,” kata Natasya.
Seorang lagi pengguna, Iliani berkata: “Terang-terang buat kerja. Patut hon kuat-kuat bagi dia terkejut.” – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan