"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mayat warga emas ditemukan berlumuran darah, lelaki kurang siuman ditahan

Izz Laily Hussein
LELAKI dipercayai kurang siuman ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang warga emas. FOTO tular
JOHOR BAHRU: Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kecederaan pada lengan, kepala dan muka di tepi jalan di Permas Jaya, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa, warga tempatan berusia 67 tahun, dipercayai maut selepas dipukul berulang kali menggunakan objek tumpul pada kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Ng Swie Chait berkata, polis menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 4.54 petang.

“Susulan itu, kita memberkas seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, dipercayai kurang siuman yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Suspek ditahan di hadapan sebuah kedai makan di Bandar Baru Permas Jaya, jam 6 petang semalam.

“Polis turut merampas sebatang tongkat besi dan sebuah potret gambar bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ng berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah. Bagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Hospital Sultan Ismail di sini, hari ini mendapati punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan akibat trauma tumpul pada kepala,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi talian 07-2182323 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial video yang memaparkan seorang lelaki melakukan perbuatan mencurigakan di tepi jalan.

Tiada ulasan: