‘I don't want to see you!’: Tuanku Muhriz tegur keras MB Negeri Sembilan
Malaysiakini
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang kedudukannya sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dipertikaikan hari ini menegur keras Menteri Besar Ismail Lasim secara berhadapan.
Dalam insiden yang dirakam dan dimuat naik ke media sosial, Tuanku Muhriz bertitah bahawa Ismail yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah, telah menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung penurunan takhta baginda.
Baginda yang berbaju Melayu warna merah jambu muda, berdiri bersama jemaah lain selepas solat Jumaat dan menyampaikan teguran keras kepada Adun Juasseh itu, sambil menegaskan bahawa baginda tidak mahu bertemu Ismail.
“Ismail Lasim telah menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar (Raja-Raja) baru-baru ini mengatakan keputusan yang dibuat bersama exco itu ialah sah, dan saya ini bukan lagi Yamtuan Besar Negeri Sembilan,” titah Tuanku Muhriz kepada orang ramai di Masjid Kampung Beting, Juaseh, Kuala Pilah.
“Tu pasal, datang hari ni jumpa saya buat apa?
“Selagi dia tak tarik balik balik apa dia kata tu, jangan jumpa saya. Go away, don't see me, i don't want to see you, okay? You understand?"titah baginda.
Dalam rakaman klip video yang tular di media sosial, Ismail turut dilihat mengangkat sembah kepada Tuanku Muhriz.
Dalam satu lagi rakaman video, Menteri Besar itu dilihat tersipu-sipu selepas ditegur sedemikian.
Kira-kira sebulan selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Tuanku Muhriz, Ismail mengesahkan bahawa dia telah menandatangani proklamasi yang mengesahkan keputusan Undang Yang Empat untuk menyingkirkan baginda daripada takhta.
Pendahulu Ismail, Aminuddin Harun, sebelum ini mengumumkan bahawa proklamasi berkenaan tidak sah, manakala Ismail sendiri mendakwa dia berada dalam keadaan terpaksa ketika menandatangani dokumen itu.
Ismail berkata dia membuat laporan polis pada 8 Sept lalu, iaitu hari dokumen berkenaan didedahkan kepada umum oleh Undang Yang Empat.
Bagaimanapun, dia masih belum menjelaskan mengapa laporan itu hanya dibuat lebih sebulan selepas dokumen berkenaan ditandatangani.
Dia juga tidak menjelaskan sebab bertemu dengan empat Undang yang kedudukan mereka turut dipertikaikan itu.
Keempat-empat Undang berkenaan berusaha menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta sejak April lalu dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar, yang juga sepupu baginda sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang baru.
Ismail mendakwa dia menandatangani dokumen itu dalam keadaan terpaksa, namun pada 17 Sept lalu dia mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mewartakan proklamasi yang mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Kemelut itu kemudian semakin meruncing apabila Tuanku Muhriz memecat semua anggota exco negeri kecuali Ismail. Keputusan baginda itu diwartakan pada 24 Sept.
Sepuluh bekas anggota exco Negeri Sembilan kemudian memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar kesahan warta kerajaan negeri yang membatalkan pelantikan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan