"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak pernah lihat Tuanku Muhriz semurka ini, kata cicit Siamang Gagap

FMT Reporters

Kamel Yassin akui rasa berdebar saksi pemerintah Negeri Sembilan tempelak MB Ismail Lasim secara terbuka.
tuanku muhriz marah ismail lasim
Tangkap layar klip video di media sosial papar konfrontasi antara Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dengan Menteri Besar Ismail Lasim selepas solat Jumaat hari ini.
PETALING JAYA: Cicit kepada seorang pahlawan Negeri Sembilan berkata, hari ini merupakan kali pertama beliau melihat Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebegitu murka, apabila baginda menempelak Menteri Besar Ismail Lasim secara terbuka.

Kamel Yassin berkata, beliau tidak pernah menyangka akan menyaksikan perkara itu.

“Rasa berdebar tengok Tuanku (Muhriz) marah, ini kali pertama saya tengok (baginda) marah macam ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

Insiden itu berlaku di sebuah masjid selepas solat Jumaat, ketika beliau berdiri di sebelah Tuanku Muhriz.

Kamel ialah cicit kepada Abdul Kahar Mukmin, atau lebih dikenali sebagai ‘Siamang Gagap, tokoh yang masyhur dengan penglibatannya menentang penjajah British dalam Perang Bukit Putus antara angkatan Yamtuan Antah dan tentera British yang bersekutu dengan Sungai Ujong.

Menerusi beberapa video yang tular di media sosial petang tadi, Tuanku Muhriz dilihat memberitahu sekumpulan jemaah bahawa Ismail telah mengutuskan surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, memaklumkan bahawa baginda kononnya bukan lagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Tuanku Muhriz kemudian mempersoalkan tujuan Ismail mahu menghadap baginda. Sebagai respons, Ismail sekadar mengangkat sembah sebagai tanda hormat.

Negeri Sembilan kini berdepan krisis perlembagaan negeri yang tercetus pada April, selepas empat individu mendakwa sebagai undang mengumumkan kononnya Tuanku Muhriz dilucutkan takhta sebagai Yang Dipertuan Besar, dan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah negeri yang ‘baharu’.

Bulan lepas, Ismail memperakui kenyataan exconya yang didakwa mengesahkan pelucutan takhta Tuanku Muhriz, sebelum baginda membatalkan pelantikan seluruh barisan exco itu.

Tiada ulasan: