"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Angkara dua isteri bergaduh, Mesir pecat ketua jurulatih, Hossam Hassan

Astro Arena

PERSATUAN Bola Sepak Mesir (EFA) dilaporkan memecat Hossam Hassan daripada jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan susulan kontroversi kehidupan peribadinya yang mencetuskan perhatian meluas media tempatan.

Keputusan itu dibuat menerusi undian lembaga pengarah EFA pada Sabtu, dengan persatuan berkenaan dilaporkan berpandangan kontroversi tersebut telah menjejaskan imej pasukan kebangsaan.

Menurut laporan The New Arab, pemecatan itu dilaksanakan berdasarkan terma kontrak Hassan, dengan Ali Maher yang kini mengendalikan kelab Liga Perdana Mesir, Ceramica Cleopatra, disebut sebagai penggantinya.

Perubahan kepimpinan itu menyusul selepas Majlis Tertinggi Pengawalseliaan Media Mesir sebelum ini melarang Hassan muncul dalam program televisyen serta memberikan temu bual susulan kontroversi membabitkan dua wanita yang dilaporkan merupakan isterinya.

Insiden berkenaan berlaku di sebuah kafe hotel mewah di kawasan Pantai Utara Mesir Ogos lalu apabila pertengkaran antara kedua-dua wanita itu bertukar menjadi pergaduhan fizikal.

Rakaman kejadian tersebar luas di media sosial dan menjadi perbualan hangat dalam kalangan masyarakat serta komuniti bola sepak negara itu.

Laporan media turut mendakwa Hassan cuba meleraikan pergaduhan berkenaan sebelum dilaporkan pengsan ketika kekecohan berlaku.

Susulan insiden itu, media tempatan melaporkan Hassan secara rasmi bercerai dengan isteri pertamanya, Howaida al-Gharbawy.

Kontroversi berkenaan mencetuskan tekanan terhadap kedudukan Hassan, meskipun beliau sebelum ini menerima pujian atas pencapaiannya bersama skuad kebangsaan.

Bekas penyerang antarabangsa Mesir itu membimbing pasukan berkenaan mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026, sekali gus mencipta sejarah apabila Mesir buat pertama kali berjaya melepasi peringkat kumpulan ke pusingan kalah mati.

Dalam perkembangan sama, EFA menyeru penyokong bola sepak Mesir supaya terus memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan sepanjang tempoh peralihan kepimpinan.

Bagaimanapun, perkembangan pemecatan dan pelantikan pengganti itu perlu dirujuk kepada pengesahan rasmi EFA sebelum dianggap muktamad. -- Stadium Astro

Tiada ulasan: