FMT Reporters
Suspek lelaki berusia lingkungan 40an itu kini direman lima hari sehingga 16 November.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk mendapat perintah tahanan reman.
PETALING JAYA: Seorang bekas kakitangan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) semalam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3 juta.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dipercayai melakukan kegiatan itu untuk membantu mendapatkan projek penyelenggaraan jalan di pencawang elektrik seluruh Semenanjung bernilai kira-kira RM95 juta.
Dia disyaki meminta dan menerima rasuah terbabit daripada seorang pengarah syarikat kontraktor.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu di antara 2023 hingga 2025 dengan menggunakan dokumen berkaitan perolehan dan pelantikan kontraktor bagi meyakinkan pengarah syarikat berkenaan.
Suspek juga dipercayai menerima wang rasuah melalui beberapa keping cek yang disalurkan oleh beberapa syarikat yang bertindak sebagai orang tengah.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Mohd Azwan Ramli mengesahkan penahanan tersebut sambil berkata kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Perintah reman selama lima hari sehingga 16 November terhadap suspek dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan