Bernama
Hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kangsar keluar perintah terhadap Marwan Mohd Nor, 38, selepas teliti keadaannya ketika mengaku bersalah.

Marwan Mohd Nor, 38, mengaku bersalah atas 2 tuduhan kesalahan terhadap mangsa wanita berusia 20 tahun dalam satu kejadian minggu lepas. (Gambar Bernama)
KUALA KANGSAR: Mahkamah Sesyen memerintahkan seorang lelaki yang mengaku bersalah atas tuduhan cuba membunuh dan merogol seorang wanita agar menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan.
Hakim Nuur Hafiedzah Md Daud mengeluarkan perintah itu terhadap Marwan Mohd Nor, 38, mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah selepas meneliti keadaan lelaki itu ketika mengaku bersalah terhadap tuduhan.
Marwan juga meminta mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum bagi tuduhan merogol.
Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa cuba membunuh seorang wanita berusia 20 tahun sehingga menyebabkan mangsa cedera di tepi jalan Felda Lasah ke Lintang, di Lubuk Kelah Lintang, Sungai Siput pada 11.20 malam 3 Nov.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.
Selain itu, lelaki itu didakwa merogol mangsa di lokasi dan pada waktu sama dengan tuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 21 Dis untuk sebutan semula kes dan mendapatkan laporan psikiatri.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa polis Nor A’in Ahmad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan