"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PATI: Malaysia terus jadi syurga pendatang

JAMDI NASIR
BARU-BARU ini Kosmo! melaporkan tangkapan 4 tekong rakyat tempatan membawa masuk 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah pangkalan haram di Tanah Merah, Kelantan. Tangkapan terhadap aktiviti jenayah yang kelihatan seperti tidak berkesudahan.

Diandaikan tekong itu sebelum ini melakukan aktiviti sama sekurang-kurang 10 hari sebulan, maka ada kemungkinan 300 PATI telah terlepas masuk ke negara kita yang berdaulat ini.

Andai dia telah melakukan aktiviti sama berbulan-bulan lamanya, maka lebih 3,000 telah berada menetap dan bekerja secara haram di negara ini. Itu di lokasi di Tanah Merah, bagaimana dengan pesisir Kepulauan Tumpat, serta kegiatan jenayah sama di sempadan Kedah/Perlis, pesisir pantai Selangor terutama di Klang, Banting dan Kuala Selangor.

Begitu juga di pesisir Negeri Sembilan di lokasi seperti Port Dickson serta Batu Pahat, Pontian dan Kota Tinggi di Johor. Belum lagi diambil kira kemasukan melalui modus operandi ‘kaunter setting’ di lapangan terbang utama negara.

Dalangnya rakyat tempatan dan berkompromi dengan rakyat asing yang lama bertapak di negara ini. Mereka mengaut untung wang haram bernilai beratus-ratus juta.

Bayangkan jika seorang PATI dikenakan bayaran RM1,000 hingga setinggi RM25,000 bergantung kepada pakej dan perjalanan masuk ke Malaysia. Jika dihitung purata RM5,000 seorang pun mereka mengaut RM5 juta bagi 1,000 PATI.

Apakah 1,000 sahaja yang berjaya melepasi sempadan negara? Lihatlah di sekeliling kita baik di Jalan Silang, Lebuh Pudu, Kotaraya atau di Pasar Borong Kuala Lumpur, Chow Kit dan Bukit Bintang.

Lihat juga di sekitar Maluri, Segambut Dalam, Pantai Dalam, Klang dan Kapar, Subang Perdana, Shah Alam, Balakong serta lokasi-lokasi tumpuan di negeri-negeri.

Keadaan merimaskan ini akan berterusan kerana Malaysia adalah syurga bagi warga asing. Mereka dengan mudah masuk ke negara ini, mempunyai rangkaian bersistematik untuk berlindung, bergerak dan tinggal tanpa takut.

Malah mereka juga yakin berpeluang memperoleh pekerjaan dengan mudah kerana ramai sahaja majikan tamak haloba bersedia menerima sebagai pekerja. Mereka akan disediakan tempat tinggal serta ada pihak yang memberikan ‘perlindungan’ daripada serbuan atau operasi pemeriksaan.

Itulah pakej syurga di Malaysia yang disebar luas oleh PATI yang berada di negara ini kepada rakan-rakan dan saudara-mara mereka di negara asal. Bagaimana jika ditangkap? Rasanya tidak begitu menggerunkan mereka.

Seseorang PATI yang ditangkap akan direman dan kemudian ditempatkan di depot tahanan sementara menunggu pendakwaan. Di sini mereka menikmati makan minum percuma beserta pakej perubatan lengkap.

Selepas pendakwaan jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara 5 tahun atau kedua-dua sekali serta boleh dikenakan sebatan.

Di sini mahkamah juga menggunakan budi bicara mengenakan kompaun tanpa perlu melalui pendakwaan penuh bagi mempercepatkan proses penghantaran pulang.

Selepas pulang apa yang mereka lakukan? Penulis yakin mereka akan berusaha masuk kembali. Siapa tidak mahu tinggal di syurga dunia seperti Malaysia ini.

Sehubungan itu, penulis mencadangkan hukuman sebat wajar dikenakan secara mandatori kepada PATI yang ditangkap, kenakan dua kali ganda kepada dalang yang membawa masuk serta tiga kali ganda majikan yang menggaji mereka. Kita lihat nanti kesannya.

Tiada ulasan: