Bernama
Mahkamah arah lelaki itu dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas seorang lelaki kerana mencemarkan Al-Quran bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan sebagai peringatan kepada orang awam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang tular selepas memijak Al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial dipenjara 12 bulan, dan didenda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan kerana mencemarkan Al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial, Februari lepas.
Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu semalam selepas S Vikneswaran, 21, yang juga bekas pelajar sebuah universiti mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh jatuh hukum (12 Nov) dan mengarahkan lelaki itu dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.
Hakim berkata hukuman yang dikenakan bukan sahaja bagi memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi juga sebagai peringatan kepada orang awam supaya tidak melakukan perbuatan serupa.
Amirull Afiqq Lokman yang mewakili Vikneswaran selaku peguam memohon penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan difailkan atas alasan anak guamnya mempunyai tarikh-tarikh untuk rawatan perubatan psikiatri. Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Sabri Othman, membantah kerana tiada keadaan khas yang mewajarkan mahkamah membenarkan permohonan itu.
Sehubungan itu, tertuduh menjalani hukuman penjara bermula semalam.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencemarkan suatu benda yang dipegang suci oleh penganut Islam iaitu Al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama itu di Jalan Gambang, Taman Seri Mahkota kira-kira 1.30 tengah hari pada 22 Feb lepas.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menggunakan akaun Threads “ryandaselva” secara sedar telah membuat dan melakukan penghantaran suatu komunikasi yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian itu dikesan selepas bapa tertuduh iaitu pengadu dalam kes dihubungi anak perempuannya pada 24 Feb lepas yang memaklumkan mengenai satu video tular di Threads yang memaparkan perbuatan tertuduh.
Pengadu kemudian menghubungi tertuduh mengenai video tular tersebut dan tertuduh mengaku kepada pengadu yang video tular itu adalah dirinya.
Tertuduh kemudiannya ditangkap pada 25 Feb. Hasil analisis di media sosial dan laporan syarikat telekomunikasi mengesahkan akaun serta nombor telefon yang digunakan adalah milik tertuduh dan keluarganya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan