Kadir Edison

Lelaki berusia 28 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang murid Tahun Enam yang disahkan hamil. – Foto Polis
KABONG: Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang murid Tahun Enam berusia 12 tahun yang disahkan hamil.
Kes itu terbongkar selepas ibu mangsa hadir ke sekolah bersama anaknya untuk memaklumkan mengenai kehamilan berkenaan, selain menyatakan hasrat mahu kanak-kanak itu berhenti sekolah dan berkahwin dengan lelaki terbabit.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata, ibu mangsa hadir ke sekolah pada 12 November bagi memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
“Pengadu yang juga guru besar sekolah berkenaan kemudian merujuk perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok sebelum diarahkan membuat laporan polis memandangkan mangsa masih kanak-kanak,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai buruh di sebuah ladang kelapa sawit itu mula berkenalan dengan mangsa sejak pertengahan 2025.
Katanya, kedua-duanya kemudian dipercayai menjalinkan hubungan cinta pada awal tahun ini.
“Mangsa mengaku melakukan hubungan seksual bersama suspek sebanyak tiga kali pada pertengahan Jun lalu,” katanya.
Mangsa dikatakan menyedari dirinya hamil kira-kira seminggu lalu sebelum memaklumkan perkara itu kepada ibunya pada 11 November.
Susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Saratok diketuai Inspektor Henry Muji menjalankan operasi mengesan suspek.
Lelaki berusia 28 tahun itu kemudian ditahan di sebuah rumah panjang di Kabong bagi membantu siasatan.
Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan