Mohd Iskandar Ibrahim
am@hmetro.com.my
Putrajaya: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta sebaik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya untuk menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.
Pengumuman itu dibuat pada sidang media di Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata, surat peletakan jawatannya sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September lalu susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.
Katanya, peletakan jawatan itu mencerminkan pendirian DAP terhadap keputusan berkenaan.
"Peletakan jawatan ini mencerminkan pendirian parti saya, DAP, terhadap keputusan tahanan rumah kepada Datuk Seri Najib.
"DAP menghormati kuasa dan prerogatif Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Namun demikian, kami berpandangan bahawa pemberian tahanan rumah kepada Najib, yang terbabit dalam skandal yang membawa kesan begitu besar kepada ekonomi dan imej negara, berpotensi membawa satu mesej tidak wajar kepada generasi akan datang," katanya.
Loke berkata, ketika surat peletakan jawatan itu dikemukakan, Perdana Menteri meminta beliau meneruskan tugas sehingga isu pembayaran RM50 juta diselesaikan dan Najib dibenarkan pulang ke rumah.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan pembayaran RM50 juta itu sudah diselesaikan di Mahkamah Tinggi pagi tadi.
Bagaimanapun katanya, beliau mendapat pengesahan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Najib belum dibenarkan pulang ke kediamannya kerana dibawa ke klinik pergigian bagi menjalani pemeriksaan yang sudah dijadualkan hari ini.
"Namun, pendirian saya tidak berubah. Pendirian saya jelas dan saya sudah memaklumkan kepada Ketua Setiausaha (KSU) serta pegawai kementerian bahawa sejurus Najib sampai ke rumahnya, peletakan jawatan saya berkuat kuasa serta-merta.
"Kalau malam ini Najib jejak di rumah, maka (peletakan jawatan) berkuat kuasa, kalau esok, esoklah," katanya.
Loke berkata, beliau menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi dan mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet MOT bagi menyelesaikan urusan pentadbiran serta memastikan kelancaran proses peralihan tugas.
Loke turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan dan mandat diberikan sepanjang 47 bulan beliau menerajui kementerian itu sejak Disember 2022.
Beliau berkata, segala perancangan dan inisiatif kementerian akan diteruskan seperti biasa, termasuk pelaksanaan My50, operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta projek Sistem Transit Rapid (RTS) pada Februari tahun depan.
Katanya, beliau akan terus memberikan sokongan kepada kementerian dan pegawai yang berkhidmat di bawahnya meskipun tidak lagi memegang jawatan Menteri Pengangkutan.
"Saya tetap Ahli Parlimen. Jadi, saya akan tetap memberikan sokongan kepada pegawai dan Kementerian Pengangkutan. Apa sahaja yang boleh saya bantu dan sumbangkan tenaga, saya akan kekal membuat demikian," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan