Nora Mahpar
PETALING JAYA: Pertelingkahan DAP dan MCA mungkin tidak banyak mengubah sokongan pengundi Cina terhadap kedua-dua parti pada PRN Melaka, namun berpotensi menyebabkan peralihan sokongan kepada Bersama yang boleh menjadi pemecah undi, kata penganalisis.
Merujuk PRN Johor, Lau Zhe Wei daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata walaupun semua calon Bersama hilang deposit, pola pengundian menunjukkan ada undi memihak kepada parti itu yang menjejaskan DAP.
DAP gagal mempertahankan enam kerusi pada pilihan raya Julai lalu, termasuk di Perling yang menyaksikan calon Bersama memperoleh 2,996 undi, lebih tinggi berbanding majoriti 1,611 undi dimenangi Barisan Nasional (BN).
Pada PRN Melaka, Bersama dan DAP bertembung di enam DUN iaitu Gadek, Kota Laksamana, Bandar Hilir, Ayer Keroh, Kesidang dan Pengkalan Batu.
Bercakap kepada FMT, Lau berkata risiko berulangnya keadaan itu tetap ada walaupun DAP dilihat akan terus menguasai undi pengundi Cina di sebalik pertembungan dengan MCA, menyaksikannya saling mencabar antara satu sama lain untuk berdebat.
“Telah wujud pola undi memihak kepada Bersama tetapi peratusan masih tidak besar (berdasarkan keputusan PRN Johor).
“Namun, cukup menyebabkan parti lain kalah seperti dialami DAP,” katanya.
Pemimpin MCA dan DAP dilihat berbalas kritikan dengan terbaru Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mencabar Presiden MCA Wee Ka Siong berdebat mengenai pencapaian masing-masing ketika menerajui Kementerian Pengangkutan.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, pula mencabar empat calon MCA yang bertanding pada PRN berdebat secara terbuka dengan empat calon Pakatan Harapan (PH) di Kota Laksamana, Bandar Hilir, Kelebang dan Machap Jaya.
Lau berpandangan, majoriti pengundi Cina masih berpihak kepada DAP berbanding MCA, mengambil kira kerjasama Umno dan PAS yang dilihat boleh menolak pengundi kaum itu condong kepada PH.
“Biarpun DAP kalah di banyak kerusi di Negeri Sembilan, di Johor tapi jangan lupa peratusan pengundi Cina kepada DAP masih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Anbumani Balan berkata DAP tidak boleh terlalu bergantung kepada serangan terhadap MCA untuk mempertahankan keyakinan pengundi Cina, sebaliknya perlu membuktikan pencapaian sendiri melalui prestasi yang boleh dinilai.
Pemerhati politik itu berkata, komuniti Cina lazimnya bersikap pragmatik dan menilai parti berdasarkan tiga prinsip yang dirumuskannya sebagai 3P – prestasi, pelaksanaan dan pemantauan.
“Jika terlalu banyak tenaga dihabiskan untuk menyerang lawan tanpa disertai penjelasan tentang pencapaian sendiri, ia boleh menimbulkan persoalan tentang keutamaan sebenar kepimpinan parti,” katanya.
Anbumani berkata, DAP juga perlu memberi perhatian kepada hubungan dengan pengundi Melayu ketika menilai langkah seterusnya selepas prestasinya merudum dalam beberapa PRN.
“Sudah tiba masa DAP juga perlu membaca, menilai dan memperkasakan hubungan bersama pengundi Melayu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan