Abdul Rahemang Taiming

Wanita warga China dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM4,000 selepas mengaku bersalah menawarkan perkhidmatan seks di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini. – Foto NSTP
TAWAU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM4,000 terhadap seorang wanita warga China selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang lelaki.
Tertuduh, Zhang Hong, 31, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh dan mendengar hujahan pihak pendakwaan.
Beliau turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan tertuduh, iaitu pada 4 November lalu.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didapati mencari langganan bagi maksud persundalan dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis pada jam 10.05 malam di sebuah pusat terapi di daerah ini, Rabu lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketika merayu hukuman diringankan, tertuduh memaklumkan bahawa dia sudah bercerai dan mempunyai seorang anak perempuan berusia sembilan tahun.
Katanya, anak perempuannya kini dijaga oleh neneknya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Beliau turut memohon supaya barang kes dilupuskan, manakala wang tunai RM700 yang dirampas dilucut hak kepada kerajaan melalui Perbendaharaan, selain tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
Mahkamah kemudian memerintahkan barang kes dilupuskan dan wang tunai RM700 dilucut hak kepada kerajaan melalui Perbendaharaan, selain tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut sebaik selesai menjalani hukuman.
Berdasarkan fakta kes, wanita itu ditahan dalam serbuan di sebuah premis terapi selepas seorang anggota polis yang menyamar sebagai pelanggan ditawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM700.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan