"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin dikecam tayang ‘menu simple’ ayam goreng, nasi panas

ARIF ATAN

Orang ramai mengecam dan menyindir tindakan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memuatnaik gambar makan malam di Facebook yang konon dakwanya sebagai ringkas.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu memberitahu, dia dapat menyambung kerja selepas bertenaga kerana menjamah hidangan tersebut.

“Menu simple untuk makan malam ini. Ayam goreng, telur, sambal, nasi panas dan ditemani anak abah seorang ini.

“Alhamdulillah, dapat saya sambung kerja dengan bertenaga semula,” catatnya di laman sosial itu yang menerima kira-kira 1,600 komentar dan 156 perkongsian setakat ini.

Walau bagaimanapun, rata-rata warga maya berpendapat aksi Azmin yang sebelum ini dikenali sebagai dalang Langkah Sheraton sebagai berlebih-lebihan.

“Alhamdulilah. Ingatkan makan mi segera hari-hari,” sindir Deno Haizal Mohamed Hassan.

Bagi pengguna Facebook, Ariff Isa pula menulis, “Tak perlu riak pun. Ramai lagi yang susah.”

Tidak kurang juga yang menempak Azmin bertanyakan bagaimana juadah sekiranya bukan ringkas.

“Kalau tak simple macam mana? Penuh satu meja ke lauk?” perli Zulfazli Helmi.

Azmin menayangkan hidangan yang kononnya bersifat marhaen dengan latar dipercayai di kediaman rasmi di Putrajaya itu ketika 32 juta penduduk Malaysia sedang ‘berkurung’ menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, ada warganet turut menyarankan adalah lebih baik Azmin berkongsikan tindakan atau langkah kerajaan melalui kementerian diterajuinya telah dan akan ambil ketika mendepani impak penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

'Krisis kami dalam Bersatu macam Ali lawan Muawiyah'

Malaysiakini
Nama Sayidina Ali Abi Talib, Muawiyah dan Khawarij dipetik oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan semasa beliau mahu menjelaskan kedudukannya serta kemelut yang melanda Bersatu ketika ini.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, perbezaan pandangan dalam parti itu sama seperti apa yang berlaku kepada Ali dan Muawiyah Abu Sufyan yang juga pengasas kerajaan Bani Muawiyah.

Katanya, pihak yang menggelarkan kumpulan bertentangan sebagai pengkhianat pula sama seperti Khawarij kerana mengambil pendekatan melampau.

Untuk rekod, Ali ialah khalifah ar-Rashidin terakhir selepas Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab dan Usman al-Affan.

Beliau terlibat dalam Perang Siffin lebih 1,000 tahun silam dan menyaksikan orang Islam terbahagi kepada dua kumpulan dengan kedua-dua pihak mendakwa mereka berada di pihak yang benar.

Khawarij pula ialah kumpulan yang asalnya menyokong Ali tetapi kemudian membawa haluan sendiri. Khawarij banyak dikenali sebagai kumpulan yang keras dan gemar mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka.

Kata Wan Ahmad Fayhsal, apabila berkempen di seluh negara nanti beliaiu akan menjelaskan apa yang berlaku dalam Bersatu.

Tak khianati Mahathir

Untuk rekod, Wan Ahmad Fayhsal akan mencabar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menduduki jawatan ketua Pemuda (Armada) Bersatu dalam pemilihan parti terbabit.

"Tunggu saya menjelajah ke seluruh negara untuk kempen pencalonan saya sebagai ketua Armada. Saya akan jelaskan keadaan.

"Saya tidak mengkhianati Syed Saddiq atau Tun (Dr Mahathir Mohamad).

"Perbezaan politik kami dalam Bersatu sama macam Saydina Ali vs Mu’awiyyah. Mereka yang memanggil orang lain sebagai pengkhianat adalah ekstremis macam Khawarij," ciapnya di media sosial hari ini.

Bersatu kini terbahagi kepada dua kumpulan dengan masing-masing menyokong Mahathir - selaku pengerusi parti - dan Muhyiddin - selaku presiden.

Syed Saddiq memilih untuk bersama Mahathir walaupun ia membuat beliau diketepikan daripada kerajaan. Wan Ahmad Fayhsal sebelum ini adalah seorang daripada ahli jawatankuasa Armada dan dilantik menjadi pegawai khas Syed Saddiq semasa ahli parlimen Muar itu menjadi menteri belia dan sukan.

Pada hari-hari awal selepas Langkah Sheraton, Wan Ahmad Fayhsal dipercayai menyokong Syed Saddiq namun selepas mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin, beliau beralih arah.

Dia kemudian dilantik sebagai senator dan menjadi timbalan menteri.

Seorang lagi yang bertanding untuk menduduki jawatan ketua Armada nasional ialah Muzzamil Ismail.

Timbunan bekas abu mayat di Wuhan cetus tanda tanya korban sebenar Covid-19

Bloomberg

(Gambar AP)
BEIJING: Timbunan bekas abu mayat di rumah pengebumian Wuhan menimbulkan tanda tanya mengenai skala sebenar kematian Covid-19 di pusat penularan pandemik itu.

Keluarga mangsa korban virus itu dibenarkan mengambil abu mayat di 8 rumah pengebumian mulai minggu ini.

Tetapi, pada masa sama, gambar ribuan bekas abu mayat tiba di rumah pengebumian tersebar di media sosial China.

Di luar sebuah rumah pengebumian itu, lori membawa kira-kira 2,500 bekas abu mayat pada Rabu dan Khamis lalu, lapor media China, Caixin.

Ia turut menyiarkan gambar menunjukkan 3,500 bekas abu mayat disusun di luar tempat itu. Tidak diketahui berapa banyak bekas sudah diisi abu mayat.

Pekerja yang menjawab panggilan di 6 daripada 8 rumah pengebumian di Wuhan berkata, mereka tiada maklumat berapa banyak bekas abu mayat yang menunggu diambil waris atau tiada kuasa untuk mendedahkan statistik itu.

Panggilan ke 2 lagi rumah pengebumian tidak dijawab.

Sesetengah keluarga berkata, mereka terpaksa menunggu beberapa jam untuk mengambil abu mayat.

Ini menyusul ketika korban Covid-19 di negara Barat meningkat secara drastik, termasuk di Milan, Madrid dan New York, di mana hospital mendirikan khemah untuk menampung kebanjiran pesakit ketika jumlah jangkitan di seluruh dunia melebihi 500,000 orang dengan 24,000 kematian dilaporkan.

Menurut statistik kerajaan China, seramai 2,535 pesakit di Wuhan meninggal dunia akibat virus itu.

Perintah berkurung yang dilaksanakan sejak akhir Januari lalu akan ditarik balik selepas China berkata, ia tidak mencatatkan sebarang kes baru dan meningkatkan pendekatan diplomatik kepada negara lain yang teruk terjejas akibat virus itu, dengan menghantar bekalan perubatan kepada mereka.