Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

KERETA dinaiki sebuah keluarga dipercayai terbabas sebelum 'tersangkut' pada pokok kelapa. FOTO Video Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Lima mangsa tercampak, seorang lagi tersepit," demikian gambaran penduduk, Salleh Ismail, 43, ketika menceritakan keadaan di lokasi kemalangan yang mengorbankan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di Jalan Baru Simpang 5, berhampiran Bagan, di sini, malam tadi.
Menurut Salleh, dia bersama beberapa penduduk setempat bergegas ke lokasi sebaik mendapat tahu mengenai kemalangan itu dan melihat kereta 'tersandar' pada pokok.
"Apabila tiba, saya melihat dua mangsa tercampak ke dalam parit, seorang kanak-kanak ditemukan di bawah pokok. Keseluruhannya lima mangsa kemalangan tercampak, seorang lagi tersepit di tempat duduk pemandu.
"Tidak lama kemudian, pasukan bomba tiba. Kami tidak pasti bagaimana kemalangan berlaku, tetapi kereta terbabit turut menghempap bumbung sebuah kenderaan rosak yang diletakkan berhampiran bengkel," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam di Jalan Baru Simpang 5, berhampiran Bagan, di sini, Putera Muhaimin Qudrat Mohd Noor Wandi, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.
Difahamkan, mangsa bersama ibu dan bapa saudara serta tiga adiknya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Parit Baijuri, Semerah, selepas makan malam di sebuah pusat beli-belah di bandar ini.
Bagaimanapun, kereta yang dipandu bapa saudara mangsa, Nor Azlan Shaharudin, 27, dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan terbabas ke dalam semak berhampiran.
Tiga adik Allahyarham Putera Muhaimin Qudrat iaitu Puteri Nur Fairuza Balqis, 15; Putera Khairunas, 11; dan Putera Aidin Firdaus, tiga tahun dan ibu saudara mangsa, Rahmah A Rahim, 26, cedera dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Ketika kejadian, ibu bapa mangsa, Noorwandi A Rahim, 41, dan Norfarahin Mohamad, 38, dikatakan pulang berasingan dengan menaiki motosikal.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Zulmazi Ariffin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.16 malam.
Katanya, seramai 13 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi untuk membantu menyelamatkan mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan