Alyaa Alhadjri
Polis Indonesia mengenal pasti sebuah syarikat berpangkalan di Johor Bahru sebagai pemilik berdaftar kapal tangki yang dirampas bersama 1.16 tan ketamin bernilai kira-kira RM784 juta di perairan negara jiran itu awal minggu ini.
Ketua Polis Indonesia Suyudi Ario Seto mendedahkan nama kapal tangki berbendera Mongolia itu dan identiti syarikat berkenaan pada sidang media di Pelabuhan Bandar Deli, Medan, Sumatera Utara, semalam.
“Fakta ini akan memberikan petunjuk penting kepada penyiasat untuk meneliti penglibatan korporat dan individu yang mengawal rangkaian antarabangsa ini,” kata Suyudi seperti dipetik portal Detik.
Pihak berkuasa Indonesia belum mengaitkan mana-mana warga Malaysia secara terbuka dengan kes itu.
Semakan Malaysiakini terhadap rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati nama dan alamat berdaftar sebuah entiti sepadan dengan maklumat yang didedahkan polis Indonesia.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama syarikat itu sementara menunggu penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa Malaysia.
Lapan anak kapal ditahan
AFP pula melaporkan polis dan pegawai kastam Indonesia memintas kapal itu pada Selasa (20 Okt) ketika ia menuju ke Pelabuhan Klang, Selangor.
Kapal tangki itu kemudian dibawa ke Pelabuhan Belawan, Sumatera Utara, sebelum pihak berkuasa menemukan 58 guni mengandungi 1.16 tan ketamin hidroklorida (HCl).
“Menerusi operasi penggeledahan ini, pasukan bersama berjaya merampas dadah terlarang jenis ketamin HCl. Barang bukti ditemukan dalam 58 guni dengan jumlah berat mencecah 1.16 tan,” kata Suyudi seperti dipetik AFP.
Lapan anak kapal yang terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan seorang warga Taiwan ditahan.
Tiada warga Malaysia dikenal pasti secara terbuka dalam kalangan mereka yang ditahan.
Pergerakan mencurigakan di Selat Melaka
Menurut agensi berita nasional Indonesia Antara, pihak berkuasa memantau kapal tangki itu selepas mengesan pergerakan mencurigakan ketika melalui Selat Melaka.
Pada 14 Okt, kapal itu dijejaki berlayar sejajar dengan pesisir Perak sebelum memperlahankan kelajuan di perairan sebelah barat George Town, Pulau Pinang.
Kapal itu kemudian menuju ke bahagian utara Selat Melaka dan dikesan di luar pesisir utara Aceh pada keesokan hari.
Pada 16 Okt, kapal itu dikesan berhampiran Palian di selatan Thailand. Ia dilaporkan memperlahankan kelajuan dan menukar haluan di kawasan itu.
Penyiasat turut dilaporkan mengesan kejanggalan pada Sistem Pengenalan Automatik (AIS) kapal itu yang menghantar maklumat dua identiti berbeza.
Menurut Detik, kapal tangki yang dibina pada 1993 itu pernah beroperasi menggunakan nama lain.
Suyudi dilaporkan berkata menukar nama kapal berulang kali antara kaedah yang digunakan penyeludup dadah melalui laut untuk mengelak dikesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan