"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM nak panggil bekas menteri, Tan Sri sekali lagi

Malaysiakini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan memanggil bekas menteri kanan dan dan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri untuk soal siasat sekali lagi berhubung dakwaan penyelewengan dana awam lebih RM2.3 bilion.

Langkah itu diambil selepas SPRM dilaporkan merampas beberapa dokumen berhubung pengambilalihan saham yang melibatkan syarikat senarai awam.

Langkah berkenaan - yang berlaku pada 1990-an - didakwa memberi kesan buruk kepada negara sehingga menyebabkan kemerosotan ekonomi Malaysia.

"Dua tokoh masyarakat itu termasuk ahli perniagaan yang bergelar mungkin dipanggil semula tidak lama lagi.

"Selain kedua-duanya, SPRM juga memanggil beberapa individu, termasuk seorang peguam, juruaudit, dan wakil sebuah syarikat untuk mendapatkan lebih banyak dokumen yang diperlukan untuk siasatan," lapor Utusan Malaysia yang memetik sumber tidak dinamakan.

Difahamkan, dokumen yang dirampas itu termasuk kertas perbankan serta dokumen daripada Suruhanjaya Sekuriti dan syarikat pemaju.

Laporan sama menyebut seorang lagi ahli perniagaan terkemuka juga diminta hadir esok untuk disoal siasat SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan mengesahkan perkara itu dan berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM iaitu kesalahan membabitkan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan, selain undang-undang antipengubahan wang haram.

Dua hari lalu, Bernama melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan dan ahli perniagaan terkemuka bergelar Tan Sri atas dakwaan penyelewengan.

Memetik sumber, Bernama berkata siasatan itu adalah lanjutan daripada Pandora Papers.

Siasatan tertumpu kepada penjualan saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, pemilikan aset berharga oleh ahli perniagaan itu, bekas menteri kanan serta ahli keluarga yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di dalam dan luar negara.

Tiada ulasan: