"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuah PAS dipilih Annuar

Al-Abror Mohd Yusuf

Barangkali tidak keterlaluan untuk mengandaikan ketika ini ribuan orang sedang mengempang air mata masing-masing sementara menunggu detik rasminya Annuar Musa menjadi anggota PAS.

Entah berapalah nombor anggota Annuar nanti. Setakat Sept 2022 lidah rasmi PAS melaporkan jumlah keanggotaan parti itu 1.005 juta. Dalam tempoh hampir setahun ini pastilah jumlah itu akan meningkat lima enam kali ganda.

Apabila Annuar rasmi menjadi anggota PAS dan berwalak akan dia kepada para ulama dan pemimpin parti, detik itu pastilah bercucuran air mata ratusan ribu orang menyambutnya.

Entah berapa ramai manusia bakal bertakbir. Mungkin sejuta orang juga. Itu belum lagi diambil kira jumlah malaikat yang akan turut bertakbir.

Untuk mendapatkan kepastian mengenai para malaikat tersebut, sudah tentu kita perlu merujuk kepada seorang ulama PAS yang pernah mengkhabarkan bagaimana makhluk Allah berkenaan bertakbir di langit pada Mei 2020 lalu.

Siapa yang tidak kenal Annuar yang penuh dengan prinsip dan keberanian itu. Anak Kelantan yang istimewa itu pastilah menjadi aset besar kepada PN, khususnya buat PAS.

Langkah segera yang sepatutnya diambil oleh para pemimpin PAS ialah "berlaku adil" kepada negara. Maksud adil - seperti yang selalu diulang-ulang pemimpin serta penyokong PAS - ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Justeru langkah keadilan yang perlu dituntaskan oleh PAS ialah mengangkat Annuar menjadi salah seorang pemimpin kanan parti tersebut.

Pedulilah kalau dia baru saja menyertai parti dan tidak melalui pelbagai proses tarbiah parti seperti orang lain.

Ruang luas buat Annuar

Sebelum ini sudah ada tokoh besar yang diberikan laluan mudah untuk naik ke peringkat tinggi dalam parti. Hasan Ali, misalnya. Dan memang ada beberapa persamaan di antara Hasan dan Annuar.

Keberanian dan kepetahan bercakap, misalnya.

Paling tidak pun, Annuar lebih daripada layak untuk menjadi salah seorang naib presiden PAS. Sementelah pula pemilihan parti itu akan tiba tidak lama lagi.

Naib presiden adalah tempat yang paling cocok buat Annuar ketika ini, sebelum langkahnya perlu dipermudahkan ke peringkat lebih tinggi.

Tokoh-tokoh lain yang sudah lama berkecimpung dalam parti sudah tentu tidak keberatan memberikan jalan kepada Annuar. Yang terbaik ialah memberikan kemenangan tanpa bertanding buat bekas ahli parlimen Ketereh tersebut.

Jika ia menjadi kenyataan sudah lebih daripada separuh kesulitan PAS diatasi.

Annuar orangnya lihai lagi lincah dalam setiap langkahnya. Sejarah juga menunjukkan dia mempunyai hubungan baik dengan pihak istana.

Takkanlah PAS nak memberikan jawatan pemeriksa kira-kira saja kepada Annuar, kan?

Apa lagi yang diperlukan oleh PAS selain memberikan ruang seluas-luasnya buat Annuar melakar sejarah buat parti itu, khususnya menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Annuar calon PRN menang 99.9%

Namun tanpa jawatan yang besar pun Annuar memang tidak akan pudar bakat dan kepakarannya.

Diandaikan dia akan menjadi calon dalam PRN beberapa bulan mendatang, kemenangan buat Annuar ialah 99.99 peratus. Khususnya jika dia diletakkan bertanding di Kelantan sendiri.

Namun jika PAS - dan PN - mahu berfikir di luar kotak sekali gus menggegarkan gabungan kerajaan perpaduan, mereka boleh mempertaruhkan Annuar di luar Kelantan.

Diangkat sebagai calon menteri besar Kedah, misalnya. Atau lebih baik menjadi poster boy buat PN di Pulau Pinang.

Pengalaman serta nama besar Annuar hanya sesuai dijadikan calon menteri besar. Meletakkan dia sebagai timbalan menteri besar pun sudah boleh dianggap sebagai suatu penghinaan, apa lagi jika dia hanya diberikan jawatan exco.

Kemudian dari situ, dipercayai langkah bekas setiausaha agung BN itu akan menjadi lebih mudah. Potensi yang cerah buat dia ialah perlahan-lahan dikenali sebagai Ustaz Annuar.

Namun untuk membalas jasa PAS, Annuar juga wajar membuktikan dia mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan orang politik.

Untuk itu dia perlu mengajak rakan-rakannya sama ada yang masih ada dalam Umno-BN atau di luar agar menyertai PAS juga.

Tajuddin Abd Rahman, misalnya. Atau Khairy Jamaluddin juga.

Jika ada tokoh bukan Islam, Annuar juga boleh menjadi penunjuk jalan untuk membawa mereka mengenali Dewan Himpunan Penyokong PAS yang mendapat sokongan meluas dalam kalangan rakyat bukan Muslim itu.

Kedua-dua tokoh terbabit - serta para pemimpin bukan Muslim lain - adalah nama besar dan sangat berpotensi menjadi pertaruhan terbaik PAS untuk menjadi parti paling dominan dalam kerajaan.

Tambahan pula sejarah menunjukkan usaha mereka menundukkan PAS di Kelantan sejak puluhan tahun lalu adalah sia-sia.

Maka seperti kata bestari, if you can't beat them, join them.

Memang PAS ketika ini sebuah parti yang jeliro sengoti kepada ramai orang

Ia adalah peluang terbaik PAS untuk menguasai kerajaan pusat sekali gus membolehkan segala agenda mereka dilaksanakan di Malaysia tanpa banyak alasan.

Idris Ahmad juga tentu dapat membuktikan bahawa PAS mampu mengubah segala kebejatan dalam negara dalam tempoh lima hari selepas menjadi menteri.

Dengan sikap Annuar yang terkenal zuhud, selalu merendah diri, tidak suka bermegah-megah, mudah mesra dengan orang ramai serta sentiasa mengutamakan bangsa Melayu dalam perjuangannya amat secocok dengan gaya hidup kebanyakan orang Kelantan, termasuklah para pemimpin kerajaan negeri.

Maka tidak mustahil dalam tempoh sedekad - atau kurang - akan ada menggelar Annuar sebagai "Tuan Guru" juga.

Dan ketika itu malaikat mungkin akan bertakbir di langit sekali lagi menyambut lelehan air mata orang ramai.

Tiada ulasan: