"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanya RM6.1 juta kos rumah terbuka 3 negeri, jimat separuh dari Seri Perdana 2022

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kerajaan membelanjakan RM6.1 juta bagi penganjuran Rumah Terbuka Hari Raya di tiga negeri dianjurkan Jabatan Perdana Menteri, Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Ali, berkata rumah terbuka di Kedah melibatkan kos RM3.1 juta, manakala masing-masing RM1.5 juta di Kelantan dan Terengganu.

“Jumlah perbelanjaan ini meliputi semua perkara seperti persiapan tempat, logistik dan perbelanjaan jamuan kepada orang ramai,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen menjawab Awang Hashim (PN-Pendang).

Armizan berkata, kira-kira 25,000 pengunjung hadir di rumah terbuka Kedah, manakala majlis di Kelantan dan Terengganu masing-masing menarik 15,000 pengunjung. Semua majlis itu dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, kos RM6.1 juta merupakan terendah dalam penganjuran Rumah Terbuka Hari Raya berbanding tahun lalu, di mana majlis dibuat di kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana.

Armizan berkata, rumah terbuka itu pada 2022 melibatkan kos RM11 juta, menarik hampir 70,000 pengunjung.

Katanya, rumah terbuka tahun ini menyediakan peluang ekonomi kepada peniaga kecil, hotel, termasuk penyedia pengangkutan.

Tiada ulasan: