"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes tegur saiz payudara: 2 lelaki dituduh bunuh pengurus

FMT Reporters

A Deebanahsok, 27, dan Patrick Chu Chee Guan, 36, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

PETALING JAYA: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, atas pertuduhan membunuh pengurus sebuah syarikat.

Harian Metro melaporkan, kedua-dua tertuduh, A Deebanahsok, 27, dan Patrick Chu Chee Guan, 36, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan namun tiada sebarang pengakuan direkodkan Majistret Mazana Sinin kerana kes bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang lelaki, M Sandrasekaran, 33, di Jalan 3/25, Taman Kenanga antara 3.30 hingga 4.15 pagi, 9 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha, menjalankan pendakwaan kes manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam A Mathan.

Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan kimia, forensik dan bedah siasat mangsa dan tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh berikutan kesalahan mengikut pertuduhan tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula 30 Jun depan.

Sementara itu, Patrick Chu tidak mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan mempromosikan judi mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di kawasan tempat letak kereta di hadapan Orchard Square, Pangsapuri Jayamuda, Jalan Rev Seet Kim Beng kira-kira jam 11 pagi, 30 April lalu.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi dirampas dan penjara tidak melebihi tiga tahun.

Media sebelum ini melaporkan pengurus sebuah syarikat maut dalam pergaduhan di Taman Kenanga selepas dikatakan menegur saiz payudara seorang wanita.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, dilapor berkata bedah siasat menyatakan punca kematian mangsa berusia 33 tahun itu adalah disebabkan tikaman di jantung.

Tiada ulasan: