"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MDB dakwa Najib tak dedah kesemua aset miliknya kepada mahkamah

Hidir Reduan Abdul Rashid

Bekas perdana menteri, Najib Razak didakwa membuat pendedahan separa mengenai aset kepunyaannya dalam perbicaraan kes saman 1MDB terhadapnya.

Menurut afidavit yang difailkan oleh Pengerusi 1MDB, Johan Mahmood, Najib mengisytiharkan RM1,010,258.62 dalam akaun banknya dan jumlah itu tidak termasuk wang tunai RM114 juta yang dikembalikan oleh mahkamah terhadapnya pada 2021.

Wang sebanyak RM114 juta itu dikembalikan kepada Najib berikutan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan Malaysia untuk pelucuthakkan wang tunai tersebut.

Afidavit Johan juga menyatakan terdapat percanggahan antara aset yang diisytiharkan Najib dan yang diidedahkan untuk saman berasingan yang dikemukakan oleh SRC International Sdn Bhd.

Sebaliknya Najib membuat pemfailan di mahkamah dengan mendakwa dia hanya mempunyai aset bernilai RM4.49 juta.

Najib diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk mengiytiharkan asetnya apabila 1MDB memperoleh Injunksi Mareva untuk menghalang bekas perdana menteri itu daripada melupuskan aset sebanyak AS$681 juta.

1MDB dan SRC menyaman Najib atas dakwaan menipu entiti itu, yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF). Kedua-dua syarikat itu ditubuhkan semasa Najib menjadi menteri kewangan.

Dalam afidavitnya, Johan mendakwa Najib hanya mendedahkan asetnya dari tempoh 2011 hingga 2020.

“Tiada pendedahan berkenaan aset-asetnya pada 2021 dan sehingga 14 Mac 2022.

"DSNR tidak mendedahkan sebarang aset di luar bidang kuasa," kata Johan.

Hari ini pada mulanya ditetapkan untuk mendengar permohonan Najib untuk menarik balik Injunksi Mareva terhadapnya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Najib Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan perbicaraan kepada 14 Mei, supaya pasukan peguam bekas perdana menteri itu boleh menyediakan jawapan kepada afidavit Johan.

1MDB dan empat anak syarikatnya menyaman Najib dan beberapa defendan lain sebanyak RM23 bilion.

Empat anak syarikat dana itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited yang berpangkalan di British Virgin Islands (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International menegemukakan 22 saman sivil pada 2021, menyasarkan mereka yang didakwa menipu dua entiti milik kerajaan itu, sama ada secara sedar atau tidak.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes rasuah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International, yang pernah menjadi anak syarikat 1MDB.

Tiada ulasan: