"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki pakai telekung ‘pancing’ duit tabung masjid ditahan

Bernama
Kelibat suspek menerusi CCTV memakai telekung sedang ‘pancing’ duit dalam tabung.
KUALA LUMPUR: Seorang penganggur ditahan di rumahnya di Kajang, tengah malam tadi kerana disyaki cuba mencuri wang dalam tabung di sebuah masjid di Bandar Baru Bangi, pada 19 Mei.

Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan, berkata suspek seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun itu ditahan di Flat Kajang Mewah oleh sepasukan anggota dari balai polis Bandar Baru Bangi.

Beliau berkata, polis turut turut merampas sehelai baju T-shirt lengan panjang warna hitam, sehelai kain telekung warna biru, dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 warna hitam milik suspek disyaki digunakan semasa melakukan jenayah itu.

“Susulan tangkapan itu, pihak polis percaya berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian duit dan telefon bimbit di dalam masjid dan surau di sekitar kawasan Bandar Baru Bangi,” katanya dalam kenyataan.

Zaid berkata, tangkapan berkenaan dibuat selepas menerima laporan daripada ketua pengawal keselamatan masjid di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi bahawa suspek cuba memancing duit daripada tabung yang diletakkan di luar masjid berkenaan.

Katanya, sebelum itu, ketua pengawal keselamatan telah menerima panggilan daripada seorang daripada pengawal keselamatan di masjid yang memaklumkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek memakai telekung berwarna biru, berseluar warna hitam, dan berpelitup muka cuba memancing duit daripada tabung masjid yang berada di bahagian koridor luar tepi masjid.

“Suspek bagaimanapun tidak sempat mencuri duit tabung masjid kerana tindakannya disedari oleh pengawal keselamatan yang bertugas ketika itu namun berjaya melarikan diri,” katanya.

Zaid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebat.

Tiada ulasan: