"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bicara tegang, peguam Naik soal sama ada Ramasamy ‘ateis’

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Berlaku ketegangan di Mahkamah Tinggi hari ini selepas peguam mempersoalkan sama ada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy seorang ateis.

“Jangan hina agama saya (mendakwa) bahawa saya tidak percaya kepada tuhan,” bantah Ramasamy terhadap soalan dilontarkan peguam, Akberdin Abdul Kadir.

Akberdin merupakan peguam mewakili pendakwah Islam Zakir Naik dalam dua saman fitnah terhadap Ramasamy.

Insiden berkenaan berlaku sejurus beliau menanyakan soalan kepada Ramasamy sama ada beliau mengetahui “Erode Venkatappa Ramasamy”, disanjung sebagai “Periyar” atau “Thanthai Periyar”, pengasas Dravidar Kalagam (gerakan Dravidar), di Tamil Nadu.

Ramasamy menjawab, cabang gerakan itu wujud di Malaysia.

Beliau bagaimanapun, berkata beliau bukan ahli gerakan itu walaupun ada dipelawa berucap dalam majlis mereka.

Kemudian Akberdin bertanya sama ada beliau seorang ateis, memandangkan ahli gerakan itu tidak percaya kepada tuhan.

Peguam Ramasamy, Ragunath Kesavan, membantah, sambil menyifatkan soalan dikemukakan Akberdin tidak adil.

Akberdin menjelaskan bahawa beliau hanya membuat pertanyaan susulan terhadap testimoni Ramasamy terdahulu, yang mana beliau tidak percaya teks Hindu, dan beliau ada menggunakan perkataan “syaitan” untuk menggambarkan Naik sebagai jahat.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz mengarahkan peguam mengolah semula soalan dan tidak melabelkan saksi.

Dalam pemeriksaan balas, Ramasamy berkata, beliau tidak mempunyai pilihan tertentu berkunjung ke rumah ibadat Hindu, namun secara kebiasaannya berkunjung ke kuil Murugan.

Ramasamy tidak bersetuju bahawa beliau menyerang Naik di media semata-mata bagi mendapatkan kelebihan politik, sebaliknya kerana beliau percaya kepada tuhan atau berminat mempertahankan kepercayaan Hindu.

Beliau mengakui memanggil Naik sebagai “penipu”, “pelarian”, “pengecut”, dan “pengganas”.

Akberdin: Apa justifikasi anda memanggil Naik seorang penipu?

Ramasamy: Kerana beliau mencetuskan kekecohan di negara ini dan mengancam penganut Hindu dan bukan Muslim.

Pada Oktober dan Disember 2019, Naik memfailkan dua saman berasingan mendakwa Ramasamy mengeluarkan lima kenyataan yang mana memfitnahnya.

Beliau menyaman Ramasamy kerana dakwaan mengeluarkan kenyataan seperti itu, yang mana dimuatnaik di media sosial dan portal berita, antara 2016 dan 2019.

Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Ramasamy memfitnahnya, pada 10 April 2016, dengan memanggilnya “syaitan” dalam laman Facebook miliknya.

Naik, yang bertaraf penduduk tetap, juga berkata Ramasamy memfitnahnya dalam satu lagi kenyataan diterbitkan FMT, pada 1 Okt 2017, dengan mendakwa Malaysia melindungi apa didakwanya sebagai pelarian dari India.

Beliau juga mendakwa pada 11 Ogos 2019, Ramasamy “memanipulasi” ucapannya dibuat pada satu majlis dianjurkan kerajaan Kelantan, diterbitkan FMT, pada hari sama.

Pada 20 Ogos 2019, beliau berkata, Ramasamy sekali lagi memfitnahnya dalam kenyataan diterbitkan India Today, yang didakwanya, mengandungi kebencian.

Saman kedua Naik terhadap Ramasamy dibuat kerana mendakwa defendan memfitnahnya apabila mengulas berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), yang disiarkan portal The Malaysian Insight, pada 8 Nov 2019.

Pendengaran ditangguhkan kepada Jumaat.

Tiada ulasan: