"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid mesti memihak DAP berbanding MCA untuk menang PRN?

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi mesti menerima hakikat bahawa DAP berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mendapatkan undi penting kaum Cina dalam PRN akan datang berbanding MCA, kata seorang penganalisis.

Felo Kanan Majlis Profesor, Jeniri Amir juga berkata MCA juga perlu pragmatik mengenai apa yang boleh ditawarkan kepada kerajaan perpaduan berikutan prestasi buruknya pada PRU lalu.

Katanya, adalah sia-sia untuk Zahid memihak kepada MCA berbanding DAP apabila masyarakat Cina tidak lagi menyokong parti itu.

“Jadi, bagaimana beliau mahu sokong MCA,” soal Jeniri.

“Apa yang penting untuk Zahid sekarang ialah memenangi lebih banyak kerusi dengan sokongan pengundi Cina.”

Beliau berkata MCA juga mesti berhadapan dengan realiti bahawa Umno kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Ahli Umno perlu menyokong DAP dan ia tidak boleh dinafikan lagi.

“Mereka dalam kerajaan perpaduan, (jadi) tiada pilihan. Ia juga penting untuk DAP menyokong Umno,” katanya.

Jeniri mengakui Umno mungkin sukar untuk meyakinkan ahli akar umbinya mengundi DAP.

“Selepas lebih enam dekad mempengaruhi fikiran penyokong bahawa DAP adalah musuh Umno, ia akan menjadi satu tugas yang sukar untuk berubah dalam sekelip mata,” katanya.

Pada Isnin, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menegaskan agar Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) memberi tumpuan dalam mengutamakan rakan gabungan BN selepas Zahid tampil menyokong calon DAP untuk pilihan raya negeri.

Bagaimanapun, Jeniri berkata walaupun MCA berharap diperuntukkan sejumlah besar kerusi untuk bertanding dalam PRN, ia juga mesti realistik.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata MCA jelas kurang berpuas hati dengan jumlah kerusi yang akan diperolehnya untuk PRN akan datang.

“Kerusi berkenaan kebanyakannya dimenangi oleh DAP. Tidak ada kelebihan kepada kerajaan perpaduan untuk DAP melepaskan kerusi tersebut kepada MCA.

“Bagi MCA, komen Zahid pasti memburukkan keadaan, justeru (Chong) berang,” katanya.

Oh berkata Zahid mesti mengambil kedudukan yang terbaik untuk menjamin kerajaan perpaduan mendapat kelebihan dalam pilihan raya.

“Memberi sokongan kepada MCA tidak dilihat akan berhasil untuk tujuan itu, seperti yang ditunjukkan dengan jelas dalam beberapa PRU lalu.”

James Chin dari University of Tasmania berkata MCA bimbang ia akan terlepas pandang untuk PRN.

“Senario terburuk adalah MCA akan diberi kerusi yang tiada siapa boleh menang, yang paling ditakutinya, namun parti itu seperti sudah pun disingkirkan,” katanya.

Tiada ulasan: