"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS saran filem Anwar ditayang secara percuma di RTM

Isabelle Leong, Alyaa Alhadjri & B Nantha Kumar

Seorang ahli parlimen PAS mencadangkan agar kerajaan membeli filem Anwar: The Untold Story dan ditayangkan kepada umum secara percuma melalui RTM.

Kata Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) dengan cara itu lebih ramai orang boleh menonton filem yang menceritakan sebahagian daripada kisah hidup Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Melalui langkah tersebut juga, katanya, tidak ada mana-mana pihak yang dipergunakan untuk menonton filem berkenaan.

"Saya cadangkan RTM untuk membeli terus filem Anwar: The Untold Story dan tayangkan secara percuma dan tanpa menggunakan budak sekolah dan kakitangan kerajaan," katanya semasa berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas media hari ini melaporkan dakwaan ada agensi kerajaan menganjurkan tayangan percuma filem tersebut.

Dakwaan itu dibuat Radzi Jidin (PN-Putrajaya) melalui hantaran di Facebooknya.

Satu daripada program itu ialah menonton filem Anwar: The Untold Story bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, manakala yang kedua membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur.

Facebook rasmi JBPM menyatakan tayangan amal pada 20 Mei di GSC IOI City Mall Putrajaya itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, M Noor Azman Taib, dan Ketua Pengarah JBPM, Abdul Wahab Mat Yasin.

Tidak dapat dipastikan sama ada tayangan percuma itu membabitkan peruntukan kementerian, JBPM atau sumber lain.

Dialu-alukan perdana menteri

Sementara itu, tayangan amal untuk pelajar tingakatan enam SMK Putrajaya Presint 5 (1) dianjurkan Kementerian Pendidikan Malaysia malam tadi.

Fadhlina dilaporkan turut hadir.

Abdul Latiff berkata jika kerajaan mahu ahli parlimen juga boleh diajak untuk menonton filem berkenaan tanpa dikenakan apa-apa bayaran.

"Ahli parlimen yang ada pun boleh dijemput bersama. Keluarkan surat rasmi untuk kita sama-sama tonton filem yang penuh bersejarah ini," katanya.

Kenyataan bersifat menyindir itu mengundang reaksi ketawa daripada beberapa ahli parlimen.

Dia berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023.

Sementara itu, Abdul Latiff menyuarakan pendirian PAS mengenai bantahan mereka terhadap konsert Coldplay dengan mengaitkan kumpulan dari Britain itu dengan agenda LGBT.

Bahkan dia mempersoalkan pembabitan secara langsung Anwar yang mempromosikan konsert tersebut.

"Sebelum ini memang ada konsert artis luar negara di Malaysia, tapi seingat saya, tidaklah sampai perdana menteri sendiri buat promosi mengalu-alukan mereka.

"Berbanding konsert (lain), Coldplay ini perdana menteri Madani sendiri alu-alukan," katanya.

Abdul Latiff mendakwa "semua orang tahu" kumpulan terbabit dikaitkan dengan aktiviti mempromosi LGBT.

Justeru dia membangkitkan persoalan jika kerajaan sekarang sedang cuba membuka ruang kepada aktiviti yang bercanggah dengan budaya dan nilai murni di negara ini.

Untuk rekod Coldplay akan membuat persembahan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 Nov. Ia dianjurkan oleh Live Nation dan ditaja oleh DHL dan CIMB.

Tiada ulasan: