"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saarani: "Sangat buruk jika Pesuruhjaya PAS berbohong'

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
bhnews@bh.com.my

IPOH: Kerajaan Perpaduan di Perak masih stabil dan kukuh, sekali gus tidak benar dakwaan wujud gerakan untuk menjatuhkan pentadbiran negeri sedia ada sebagaimana dibuat Pesuruhjaya Pas Negeri, Razman Zakaria, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

"Ini sangat buruk jika Pesuruhjaya PAS negeri berbohong," katanya mengulas kenyataan Razman berhubung dakwaan beberapa wakil rakyat kerajaan negeri datang sendiri berjumpa dengannya ketika khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak.

Saaarani berkata, sebagai Ketua Pembangkang negeri, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol seharusnya lebih bertanggungjawab dengan mengambil kira keyakinan pelabur mungkin pudar, bahkan lari apabila kerajaan digambarkan tidak stabil yang akan menyebabkan berlaku pertukaran polisi.

"Saya tak pasti apa maksud Razman apabila ada wakil rakyat kerajaan 'menemui' beliau sekali gus memberi gambaran seolah-olah wujud gerakan menjatuhkan kerajaan. Kalau terjumpa sewaktu makan kenduri, atau terjumpa semasa majlis raya, atau terserempak di pasar malam itu bukanlah sengaja pergi jumpa dia.

"Tanpa sertakan sebarang bukti dan asas kukuh, kenyataan Ketua Pembangkang Perak itu sengaja dibuat untuk membentuk persepsi kononnya wujud pergeseran serta kestabilan dalam kerajaan Perak.

"Untuk itu saya dan rakan-rakan EXCO serta semua ADUN kerajaan hari ini, hari ini sebulat suara menyatakan komitmen untuk terus mendukung kestabilan dalam kerajaan, sekali gus menafikan dakwaan kononnya wujud usaha menjatuhkan pentadbiran sedia ada," katanya pada sidang media khas sebelum bermula Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Hadir sama, 31 daripada kesemua 33 ADUN kerajaan Perak, kecuali ADUN Kepayang yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan yang kini berada di Jepun serta ADUN Keranji, Koo Haai Yen.

Sidang media itu diadakan bagi menjawab kenyataan Razman dilaporkan sebuah akhbar semalam yang mendakwa, beberapa ADUN kerajaan datang sendiri berjumpa dengannya ketika khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak.

Memetik laporan akhbar itu juga, Razman bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah serta nama ADUN kerajaan yang berjumpa beliau itu selain mendakwa beliau tidak tahu siapa perancang kepada gerakan menumbangkan kerajaan negeri namun mengalu-alukannya jika benar adanya gerakan seumpamanya.

Saarani berkata, tindakan susulan terhadap kenyataan Razman yang disifatkan boleh mendatangkan kegusaran masyarakat, dalam pertimbangan pihaknya.

"Ya, kalau sampai waktu kita rasa dia memberi gambaran tak elok dan menggugat keselamatan, jadi tak mustahil akhirnya nanti kita akan buat laporan polis, sebab itu adalah kenyataan berbaur hasutan, " katanya.
Saarani (tengah) pada sidang media yang turut dihadiri ADUN kerajaan di Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. - Foto NSTP/L Manimaran
Saarani (tengah) pada sidang media yang turut dihadiri ADUN kerajaan di Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. - Foto NSTP/L Manimaran

Tiada ulasan: