"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah: Rayuan Sapura Energy halang Rafizi peroleh gaji bekas CEO pada 8 Ogos

Bernama
Rafizi Ramli sebelum ini mendapatkan kebenaran mahkamah supaya Sapura Energy mendedahkan pakej imbuhan dan elaun Shahril Shamsuddin selepas bekas CEO itu memfailkan saman terhadap Timbalan Presiden PKR tersebut.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Ogos untuk mendengar rayuan Sapura Energy Bhd terhadap keputusan Mahkamah Sesyen membenarkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendapatkan dokumen berhubung gaji dan elaun dibayar kepada Shahril Shamsuddin, semasa menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) Sapura Energy Bhd.

Peguam Rafizi, Navpreet Singh semasa mengesahkannya berkata tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rozana Husin pada prosiding pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

Pada 14 April lepas Hakim Mahkamah Sesyen Lailatul Zuraida Harron@Haron dalam membenarkan permohonan Rafizi, mengarahkan supaya syarikat berkenaan mengemukakan dokumen yang diminta oleh Ahli Parlimen Pandan itu dalam tempoh sebulan daripada tarikh keputusan.

Susulan itu Sapura Energy menfailkan notis rayuan bertarikh 25 April, terhadap keputusan berkenaan.

“Pendaftar yang arif (Rozana) memberikan arahan untuk menfailkan hujah bertulis menjelang 11 Julai dan hujah jawapan menjelang 25 Julai,” kata Navpreet ketika dihubungi media.

Pada 24 Nov lepas, Rafizi memfailkan permohonan itu dan meminda pembelaannya yang difailkannya pada Julai tahun lepas.

Dalam permohonan itu, Rafizi memohon kebenaran mahkamah untuk Sapura Energy mendedahkan pakej imbuhan dan elaun Shahril.

Shahril menfailkan saman terhadap Rafizi pada Mei tahun lepas, berikutan kenyataan Rafizi dalam tiga artikel yang disiarkan di akaun media sosialnya antara 31 Mac hingga 4 April tahun lepas.

Artikel berkenaan sebagai reaksi terhadap kewajaran menggunakan dana awam untuk menyelamatkan syarikat itu seperti yang dicadangkan bekas perdana menteri, Najib Tun Razak, yang mahu kerajaan menyuntik lebih banyak dana ke dalam Sapura Energy.

Rafizi yang membantah pandangan Najib mendakwa dana awam tidak seharusnya digunakan bagi melindungi golongan elit.

Tiada ulasan: