"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azalina: Lebih 50,000 ‘scammer’ ditangkap sejak 2018

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sebanyak 50,128 tangkapan melibatkan jenayah penipuan dalam talian berjaya dilakukan pihak berkuasa dari 2018 hingga 30 April tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata daripada jumlah itu sebanyak 33,639 pertuduhan direkodkan bagi kes berkenaan pada tempoh sama.

“Polis membuka 3,595 kertas siasatan bagi kes penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan 33 kertas siasatan bagi pengubahan wang haram.

“Tiada kertas siasatan ditutup,” katanya dalam jawapan lisan kepada soalan Wong Chen (PH-Subang) berhubung tahap keberkesanan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam menangani isu penipuan kewangan dalam talian.

Beliau berkata, sejak NSRC ditubuhkan pada 12 Okt tahun lalu sehingga April tahun ini, jumlah panggilan yang diterima orang ramai adalah sebanyak 30,069.

Katanya, daripada jumlah itu, 11,858 adalah panggilan mangsa scam dengan jumlah kerugian dilaporkan adalah sebanyak RM104.8 juta.

Tambahnya, tiga kes tertinggi dicatatkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan pembelian online, pelaburan dan BEC.

“Statistik yang dianalisis untuk jangka masa lima tahun kebelakang sehingga April 2023 pula menunjukkan, jumlah kerugian sebanyak RM2,955,035,941 dan terdapat peningkatan kes-kes penipuan dalam talian dalam tempoh ini,” katanya.

Oktober tahun lalu, kerajaan menubuhkan NSRC sebagai satu usaha bagi membendung jenayah penipuan dalam talian.

NSRC menggabungkan polis, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Tiada ulasan: