"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hina Sultan Perak, tukang kimpal dipenjara 6 bulan

Bernama
Mohd Masri Md Darus dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang tukang kimpal kerana membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menerusi Twitternya Disember lalu.

Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Masri Md Darus, 36, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini.

Masri didakwa melakukan perbuatan itu menggunakan laman profil Twitter “@Muhammad65J” dengan niat menyakiti hati orang lain pada 8.21 pagi 22 Dis 2022.

Hantaran itu kemudian dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di sini pada 5 petang 3 Jan lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal, mengambil kira faktor hantaran dimuat naik tertuduh bersifat jelik dan menggunakan bahasa tidak sopan.

“Pendakwaan memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran bukan saja kepada tertuduh, tetapi kepada masyarakat juga agar lebih berhati-hati ketika memuat naik hantaran dalam media sosial.”

Masri yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan tidak berkemampuan dan perlu menjaga ibu uzur.

Tiada ulasan: