"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Abduh: Jalan saya adalah jalan ayahanda saya

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memberi bayangan akan terus kekal bersama PAS walaupun pelbagai desas-desus mengaitkan dirinya akan menyertai parti lain.

Beliau berkata, jalannya adalah jalan ayahandanya dan Islam adalah penyelesaian.

"Ramai juga mohon penjelasan saya. Saya mohon kemaafan dulu. Begini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan al marhum ayahanda adalah kawan.

"Menyambung persahabatan dengan kawan-kawan ayah kita adalah sunnah Rasulullah termasuklah dengan keluarga dan rakan-rakan mereka," katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, antara dua insan besar iaitu Anwar dan allahyarham ayahandanya terdapat persamaan dalam perjuangan politik mereka.

"Ada juga perbezaan. Perbezaan lebih besar, itu sebab mereka berbeza parti politik. Mereka pernah berselisih, tetapi persamaan yang ada mampu untuk tidak memanjangkan perselisihan itu.

"Begitulah saya, perbezaan kekal, persamaan mendekatkan. Jalan saya adalah jalan ayahanda saya dan Islam adalah penyelesaian. Itulah universiti politik Kelantan.

"Ada pun desas desus itu dan ini, itu debu. Jaga mata anda. Tak sakit pun, kabur jadinya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, gambar pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Nik Mohamad Abduh ketika lawatan perdana menteri ke Kelantan baru-baru ini mencetuskan tanda tanya.

Pertemuan itu turut dihadiri abang kepada Nik Mohamad Abduh iaitu Nik Omar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Susulan pertemuan itu, ada yang mengaitkan Nik Mohamad Abduh mahu berhijrah ke parti lain selepas PAS menggugurkan beliau sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Tiada ulasan: