Krishaant Pathmanathan
PETALING JAYA: Kemenangan oleh Perikatan Nasional (PN) di Selangor, Pulau Pinang, malah mungkin juga Negeri Sembilan dilihat mampu menjadi penghalang terhadap ekonomi.
Pandangan ini dikongsikan pakar ekonomi kepada FMT Business menjelang PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini.
Kesimpulan itu berdasarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK), pelaburan langsung asing (FDI), dan unjuran pendapatan tahunan setiap negeri.
PN yang merangkumi PAS, Bersatu dan Gerakan melawan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menguasai Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Kelantan yang kebanyakannya ditadbir PAS sejak 50 tahun lalu, antara negeri termiskin negara ini. Selangor pula yang menjadi kubu kuat BN sehingga jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada 2008, adalah yang paling kaya.
Angka tidak menipu
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, sebarang perubahan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan menggugat persekitaran untuk pelaburan asing. Bagaimanapun, beliau yakin negeri berkenaan akan kekal di bawah PH.
Selangor dan Pulau Pinang yang telah lama ditadbir PH adalah kuasa ekonomi, dan kedua-duanya merangkumi 30.29% KDNK negara pada 2021. Sebaliknya, gabungan Terengganu, Kedah, Kelantan dan Negeri Sembilan hanya merangkumi 10.88%.
Terengganu antara penyumbang pendapatan tertinggi dan dijangka mendapat RM1.81 bilion tahun ini, kebanyakannya daripada royalti minyak. Jumlah ini hanya kurang sedikit berbanding RM2 bilion yang mungkin diraih Selangor.
Keadaan Negeri Sembilan agak berbeza, apabila tidak mempunyai kekuatan ekonomi seperti Selangor dan Pulau Pinang, selain baru berada di bawah pentadbiran PH selama satu penggal.
Pakar ekonomi veteran Ramon Navaratnam berkata, kerajaan pimpinan PH telah memperkenalkan dasar sosioekonomi lebih baik di Negeri Sembilan sejak mengambil alih pada 2018.
Beliau menjangka kestabilan, pertumbuhan ekonomi dan pengagihan pendapatan semakin baik sekiranya PH menang sekali lagi, kini dengan BN sebagai rakannya.
Impak hasil kesan berbeza
Rata-rata mempersetujui PRN akan mempunyai impak minimum terhadap ekonomi. Bagaimanapun, pakar ekonomi tetap memberi amaran ekonomi Malaysia masih mampu terjejas jika gandingan PH-BN tidak membuahkan hasil baik.
Williams berkata, prestasi buruk oleh Umno akan menjejaskan kestabilan kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi seterusnya peranannya dalam kerajaan perpaduan.
“Ini mungkin membawa kepada pertukaran kerajaan lagi, yang akan menjejaskan kestabilan ekonomi, keyakinan pelabur dan FDI,” katanya.
Ramon berkata, kerajaan bersih dan sekular akan menjamin kesepakatan dari segi arah dan hala tuju bagi pembangunan sosioekonomi negara.
“FDI adalah sumbangan penting untuk KDNK. Ini mungkin terjejas teruk jika enam negeri berkenaan diambil alih golongan berhaluan ekstrem dan taksub,” katanya.
Ironinya, Kedah mendahului dengan FDI RM11.11 bilion, namun ramai penganalisis menganggap ini disebabkan kedudukannya yang hampir dengan Pulau Pinang seterusnya membolehkannya meraih limpahan keuntungan jirannya itu.
Pada tahun sama, Selangor dan Pulau Pinang masing-masing mendapat FDI RM9.76 bilion dan RM7.57 bilion. Sebaliknya, Terengganu hanya merekodkan RM17.8 juta bagi pelaburan sama, manakala Kelantan pula RM913.3 juta.
Melihat unjuran jangka panjang, Williams berkata adalah jelas negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS menunjukkan prestasi jauh rendah dari segi kebanyakan indikator ekonomi dan sosial.
“Negeri itu yang paling kurang menarik bagi pelaburan, pelancongan dan migrasi,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata, negeri dengan kerajaan lebih terbuka lagi progresif menunjukkan indikator ekonomi dan sosial jauh lebih baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan