"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

425 Pati ditahan, Jadikan pangsapuri ‘perkampungan’

Bernama
KUALA LUMPUR: Cubaan sekumpulan warga asing menggunakan pelbagai taktik untuk mengelak ditahan Jabatan Imigresen (JIM), termasuk bersembunyi dalam tong sampah dan almari tidak berhasil apabila mereka ditahan dalam operasi di Pangsapuri Cheria Heights, Taman Bukit Cheras, di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata serbuan itu hasil siasatan dan risikan selama dua minggu ekoran aduan orang awam berhubung jumlah warga asing terlalu ramai di kawasan itu sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial.

“Dalam operasi dijalankan 60 pegawai dan anggota JIM bermula 1 pagi dan berakhir 4 pagi, 425 pendatang tanpa izin ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah, tinggal lebih masa atau tamat tempoh pas lawatan kerja sementara, selain pemegang kad tidak diiktiraf.

“Mereka yang ditahan merangkumi 372 lelaki dan 53 wanita, terdiri daripada warga Bangladesh seramai 252 orang, Myanmar (108), Filipina (dua), Indonesia (30), Kemboja (enam), Nepal (20) dan tujuh warga Pakistan yang semuanya berumur lapan hingga 54 tahun,” katanya dalam sidang media selepas operasi itu.

Beliau berkata, siasatan mendapati warga asing ditahan itu bekerja dalam pelbagai bidang, termasuk sektor pembinaan dan pembersihan.

Semasa operasi, katanya, terdapat warga asing yang bertindak agresif dengan membaling pelbagai objek, termasuk botol bagi mengelak ditahan, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Syamsul Badrin berkata, terdapat juga pelarian Rohingya mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan pas kerja sah.

“Untuk warga Myanmar, mereka mempunyai kad berdasarkan persatuan atau etnik mereka, namun kad berkenaan tidak sah digunakan dan tidak diiktiraf (dalam negara). Mereka yang hanya ada kad tersebut sebagai pengenalan diri, imigresen akan tahan mereka.”

Semua yang ditahan dibawa ke depot imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tiada ulasan: