"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 pemandu Lamborghini pandu melulu diambil keterangan

FMT Reporters
Sedutan video tular menunjukkan beberapa kereta mewah memotong kenderaan lain secara bahaya di Lebuhraya Senai-Desaru di Kota Tinggi, Johor.
PETALING JAYA: Polis mengambil keterangan lima pemandu Lamborghini yang dirakam dalam satu video tular memandu secara bahaya di Lebuhraya Senai-Desaru di Kota Tinggi, Johor.

Ketua Polis Kota Tinggi, Hussin Zamora berkata semua pemandu lelaki warga tempatan berusia 44 hingga 64 tahun itu diambil keterangan, selepas polis mengesan kenderaan mereka di Desaru pada jam 11.40 pagi tadi.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Tinggi menerima video tular berdurasi 71 saat mengenai kejadian itu pada jam 10 pagi tadi.

“Satu konvoi kereta mewah jenis lamborghini dirakam memandu dalam keadaan merbahaya dengan memotong kenderaan lain secara melulu sehingga boleh menyebabkan kemalangan, ” katanya dalam kenyataan.

Hussin kes disiasat dibawah seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Dalam video tular tersebut, beberapa buah kereta mewah dilihat memotong kenderaan secara berbahaya di Lebuhraya satu lorong di lebuhraya berkenaan.

Beberapa kenderaan dari arah bertentangan juga memberikan isyarat lampu dan terpaksa menghimpit ke bahu jalan bagi mengelak bertembung kereta mewah itu.

Tiada ulasan: