N Faizal Ghazali
Pernah menjadi calon dua kali dan kalah pada kedua-dua cubaan, ia tidak melemahkan semangat untuk seorang bekas pensyarah sains politik mencuba kali ketiga.
Kali ini Samsu Adabi Mamat, 54, yang juga ahli Amanah, mencuba sebagai wakil PH untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Panau di Kelantan.
Kerusi itu akan dipertahankan penyandangnya Abdul Fattah Mahmood yang menguasai DUN itu sejak empat penggal lalu.
Bersara awal daripada bidang akademik untuk terjun ke kancah politik, Samsu Adabi yang juga anak jati Tanah Merah pada awalnya menyertai Bersatu dan bertanding di Parlimen Putrajaya pada PRU ke-14.
Tewas dalam percubaan pertama ternyata tidak menokhtahkan prinsip dan perjuangannya. Justeru dia sekali kali bertanding dengan mewakili parti Pejuang pula pada PRU ke-15 Nov tahun lalu.
Tempat yang menjadi pertaruhan Samsu Adabi ialah kawasan parlimen Gua Musang.
Walaupun hanya mendapat 371 dalam percubaan kedua itu, Samsu Adabi bagaimanapun berbangga kerana penyertaannya mencipta sejarah sekali gus penyumbang kepada kekalahan penyandang kerusi itu sejak sekian lama, Tengku Razaleigh Hamzah.
"Asalnya saya ahli Bersatu seumur hidup, tetapi apabila berlaku pengkhianatan terhadap konvensyen kerajaan PH kerana Muhyiddin Yassin sanggup menggadaikan perjuangan dengan 'tebuk atap' kerana mahu jadi perdana menteri, saya turut terbuang kerana prinsip.
"Ketika itu saya pegawai khas Dr Mahathir Mohamad.
"Saya tiada parti selama dua tahun, lalu pulang ke Dabong, Kuala Krai dan menjadi petani dengan bercucuk tanam," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Tanah Merah semalam.
Selepas pandemik Covid-19 mula reda, katanya, Pejuang kelihatan aktif dan dia memilih untuk menyertai parti dipimpin Mukhriz Mahathir itu.
Sebagai ahli Pejuang Samsu Adabi kemudian terus diberi tanggungjawab sebagai ketua Pejuang Gua Musang.
Sertai Amanah tahun ini
Selepas tiga bulan mengetuai parti itu di kawasan berkenaan, katanya, parlimen pun dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU ke-15.
"Saya terus bertanding di Gua Musang," katanya.
Untuk rekod Pejuang pernah dipimpin Mahathir dan dia membawa parti itu menyertai PRU ke-15 pada 19 Nov 2022 bersama Gerakan Tanah Air.
Bagaimanapun semua calon gagasan itu gagal memberi kesan yang signifikan apabila mereka kalah dah hilang wang pertaruhan di seluruh negara.
Sementara itu Samsu Adabi berkata, pada awal tahun ini dia menyertai Amanah pula dan aktif di kawasan Kuala Krai bagi memberi sokongan dan sumbangan kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.
"Saya berpandangan semua parti politik sekarang menghadapi masalah tersendiri dan ketika itu parti memerlukan pejuang sebenar.
"Saya bersyukur kerana Amanah menghargai saya sebagai seorang yang ada sedikit pengalaman dalam politik dan teori politik dan saya percaya dapat menyumbang sesuatu yang bermakna kepada parti dan kerajaan Madani.
"Antara perkara yang menyebabkan saya menyokong PH adalah doa Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (bekas menteri besar Kelantan) dimakbulkan Allah untuk melihat Anwar menjadi perdana menteri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan