Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor disifatkan peluang terakhir kepada bekas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membuktikan keupayaannya sama ada masih relevan atau sebaliknya dalam arena politik negara.
Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan bagaimanapun beranggapan, Azmin yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, masih mempunyai pengaruh tersendiri di Selangor, sekali gus membuka peluang untuknya terus berpolitik di negeri berkenaan.
"Saya anggap ini adalah peluang terakhir buat Azmin walaupun beliau hanya pernah kalah sekali iaitu pada pilihan raya yang lalu, tetapi saya tidak rasa kerjaya beliau akan bertahan dalam dunia politik.
"Sekiranya beliau kalah sekali lagi, kali ini dalam PRN, dua perkara akan berlaku, politik negara akan meninggalkannya atau dalam BERSATU sendiri beliau mungkin tercicir berbanding beberapa pemimpin lain," katanya pada Program Podcast Keluar Sekejap dikendalikan bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Shahril berkata, Azmin ketika ini dianggap pemimpin paling 'dibenci' oleh penyokong PH, yang dikaitkan dengan penyebab kepada 'Langkah Sheraton' pada 2020.
"Kalau tanya penyokong PH, figura paling tak disukai adalah Azmin. Ramai pemerhati menganggap Azmin akan habis (kalah). Tapi Azmin ini ada sesuatu (pengaruh) di Selangor yang tidak ada di negeri lain.
"Kalau dia pergi Kuala Lumpur atau Johor, tak nampak bayang (pengaruh) itu, di Selangor ini ada aura yang tak boleh dinafikan," katanya sambil menjelaskan pengaruh itu ada antara lain disebabkan jasa beliau ketika menjadi Menteri Besar Selangor sebelum ini.
Pada PRN kali ini, Azmin bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, berpindah dari DUN Bukit Antarabangsa disandangnya sebelum ini, menentang Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari iaitu Juwairiya Zulkifli dari PKR.
Juwairiya yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR dan sebelum ini penyandang DUN Bukit Melawati, menjadi pertaruhan penting PKR dalam misi menewaskan kumpulan yang disifatkan mereka 'pengkhianat' parti.
Kerusi DUN Hulu Kelang yang sebelumnya dimiliki AMANAH, diambil alih oleh PKR pada saat akhir. Sebagai gantinya, PKR menyerahkan kerusi DUN Batu Tiga kepada AMANAH.
Pada PRU14, kerusi DUN Hulu Kelang disandang Saari Sungip dari PH yang mewakili AMANAH.
Dalam pada itu, Shahril berkata, nasib berbeza bagi bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dimana karier politiknya masih terbuka biarpun tewas dalam Pilihan Raya Umum 15 (PRU15).
"Reezal tiada natatif akan habis (berakhir kerier politiknya). Reezal saya fikir tidak dibebani sepertimana dihadapi Azmin. Cuma dia pun dapat tekanan dalam UMNO Pulau Pinang sendiri," katanya.
Dalam pada itu, ketika membalas pandangan Shahril, Khairy berkata dalam politik, segala kemungkinan boleh berlaku.
"Dalam politik ini, saya sudah belajar banyak perkara yang mana walaupun dia (Azmin) kalah beberapa kali, saya rasa dunia politik ini tidak boleh kata bahawa kerjaya seseorang itu akan habis.
"Ini kerana kita sudah pernah melihat kebangkitan kerjaya orang yang kita rasakan sudah khalas (berakhir)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan