Syaherah Mustafa
bhnews@bh.com
KOTA BHARU: PKR menyifatkan kemelut yang berlaku membabitkan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang tidak dicalonkan di Dewan Undangan (DUN) Chempaka sebagai politik 'cah keting' yang tidak sihat.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata apatah lagi ia membabitkan keluarga Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Kita percaya susulan rakaman video yang tersebar dan isu yang berlaku membabitkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Nik Mohd Amar yang juga calon DUN Panchor sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada calon PH.
"Sebelum ini pun ada kumpulan masyarakat yang mempunyai pandangan negatif terhadap Mohd Amar dan dengan pendedahan video berkenaan akan terus memberi imej tidak baik kepada beliau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kerajaan Perpaduan DUN N07 Panchor di Kampung Petani, Sering, di sini, malam tadi.
Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, berkata PH dan BN akan terus mengamalkan budaya politik yang sihat sebagaimana disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Apa yang penting kami akan terus menjalankan kerja sepanjang tempoh berkempen selain menonjolkan politik sihat serta memastikan calon menyampaikan tawaran terbaik kepada pengundi di setiap kawasan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, adik kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz mendedahkan bahawa Mohd Amar adalah punca kepada anak saudaranya, Nik Mohamad Abduh tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan.
Nik Din Nik Mat turut mendedahkan, nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu pada awalnya ada dalam senarai sebelum ditolak oleh Mohd Amar.
Nik Din juga mendakwa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri turut menghantar surat meminta PAS Kelantan menyenaraikan nama anak saudaranya itu.
Dakwanya, tindakan itu dibuat kerana calon DUN Panchor itu tidak mahu keluarga Allahyarham Nik Abdul Azizi bertapak di Pengkalan Chepa.
Pendedahan itu dikongsikan menerusi satu rakaman video berdurasi dua minit 33 saat yang tular sejak petang semalam.
Nik Amar bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan mempersoalkan dari mana Nik Din memperolehi sumber itu kerana nama Nik Abduh memang tidak tersenarai dari awal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan