"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rogol, amang seksual anak kandung; lelaki dipenjara 12 tahun

Bernama

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dalam memerintahkan seorang lelaki yang didapati bersalah atas satu kesalahan rogol dan dua amang seksual terhadap anak perempuannya berusia 10 tahun, untuk menjalani hukuman penjara ke atas ketiga-tiga pertuduhan itu secara serentak.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Hadhariah Syed Ismail, M Gunalan dan Choo Kah Sing membuat keputusan tersebut susulan rayuan lelaki berusia 45 tahun itu yang meminta mahkamah tersebut menjelaskan sama ada hukuman penjara ke atasnya berjalan serentak atau berasingan.

Lelaki itu dikenakan hukuman 12 tahun penjara dan 12 sebatan atas kesalahan rogol manakala bagi dua kesalahan amang seksual, masing-masing 10 tahun penjara dan empat sebatan serta 10 tahun dan lima sebatan; selepas dia mengaku bersalah atas ketiga-ketiga pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen pada 20 Okt tahun lalu.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen tersebut dan dia diperintahkan menjalani tempoh penjara bagi ketiga-tiga kesalahan itu secara serentak bermula 13 Okt tahun lalu, iaitu tarikh tangkapan.

“Anda bertuah. Kesalahan yang anda lakukan sangat serius. Mahkamah Sesyen mahu menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun dan 21 sebatan namun atas kesilapan teknikal, anda dihukum 12 tahun penjara dan 21 sebatan,” kata Hadhariah.

Beliau berkata memandangkan Timbalan Pendakwa Raya Aida Khairuleen Azli mengesahkan bahawa Mahkamah Sesyen mengeluarkan arahan bahawa semua hukuman penjara itu bermula daripada tarikh tangkapan, pihak Mahkamah Rayuan perlu mengekalkannya.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Norakhmar Mohd Sani menyatakan dalam keputusannya bahawa hukuman penjara untuk ketiga-tiga pertuduhan itu bermula dari tarikh tangkapan. Beliau juga menyatakan bahawa hukuman penjara untuk dua kesalahan amang seksual dijalankan serentak.

Bagaimanapun, pada 21 Okt lalu, Norakhmar menulis surat kepada Mahkamah Tinggi memaklumkan bahawa beliau melakukan satu kesilapan dalam keputusannya dan memohon mahkamah itu melakukan semakan semula terhadap kes tersebut.

Dalam surat itu, beliau berkata beliau berniat untuk menjatuhkan hukuman 22 tahun penjara daripada tarikh tangkapan.

Beliau mahu hukuman penjara bagi kesalahan rogol berjalan secara berasingan daripada hukuman penjara bagi kesalahan amang seksual, bagaimanapun, tidak mengumumkan perkara itu dalam keputusannya.

Pada 19 Jan lalu, Mahkamah Tinggi mengenepikan permohonan semakan semula itu, menyatakan tiada perlanggaran undang-undang pada hukuman penjara tersebut.

Ekoran itu, lelaki berkenaan, diwakili peguam Rozilan Abdul Rahman memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan memohon penjelasan sama ada hukuman penjara itu berjalan secara serentak atau berasingan.

Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu melakukan kesalahan tersebut terhadap anak perempuannya yang berusia 10 tahun ketika itu, di sebuah rumah di Jerantut, Pahang pada Julai dan 9 Okt tahun lalu.

Mahkamah Sesyen turut mengarahkan lelaki itu untuk menjalani kaunseling rehabilitasi selama dua tahun semasa dalam tahanan.

Tiada ulasan: