"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Personaliti TV Amin Idris tawarkan ruang untuk Sanusi, Saifuddin berdebat

Malaysiakini
 
Personaliti TV Amin Idris hari ini menawarkan diri untuk mempertemukan dua tokoh politik yang sedang galak 'berperang' dalam isu elemen nadir bumi (REE) di pentas debat.

Kata Amin, dia melihat menteri besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, kini diasak bertalu-talu dalam isu kecurian REE di negeri berkenaan.

Antara lain pihak yang giat mengasak Pengarah Pilihan Raya PN itu ialah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

"The Amin Idris Show dengan penuh rendah diri menawarkan pentas debat untuk Datuk Seri Sanusi dan Datuk Seri Saifuddin Nasution mengemukakan hujah dan bukti secara gentleman.

"Tarikh cadangan ialah pada 7 Ogos atau bergantung pada persetujuan kedua-dua pihak," katanya dalam kenyataan awal pagi tadi.

Sebelum ini Saifuddin mendakwa Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah mengetahui kegiatan mencuri REE yang berlaku di Bukit Enggang, Sik.

Saifuddin berkata MBI sepatutnya mengetahui perkara tersebut kerana perbadanan berkenaan mengambil sekumpulan warga China untuk menjalankan kerja-kerja penerokaan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun dakwaan tersebut dinafikan oleh Sanusi malah menegaskan dia tidak ada kaitan dengan kegiatan tersebut.

Sanusi - yang akan mempertahankan kerusi DUN Belantek di dalam kawasan parlimen Sik itu - sebaliknya kini mengaitkan isu tersebut dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Amin berkata pihaknya sudah menghubungi pihak Sanusi dan Saifuddin mengenai cadangannya menyediakan pentas debat bagi membolehkan kedua-dua pihak membentangkan hujah masing-masing.

"Setakat ini pihak Datuk Seri Saifuddin bersetuju. Pihak pegawai Datuk Seri Sanusi telah menjawab telefon dengan baik dan menyantuni Bro Amin. Cuma belum beri kata putus," katanya.

Untuk rekod Menteri Ekonomi pernah mempelawa Sanusi untuk berdebat menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang melibatkan Kedah serta lima negeri lain pada 12 Ogos ini.

Bagaimanapun Sanusi - yang digelar Panglima Perang PN oleh sesetengah pihak - menolak kerana menganggap langkah tersebut "tidak akan mengubah kedudukan ekonomi negara."

Tiada ulasan: