"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN tak akan tutup premis judi jika menang - Calon Gerakan

Malaysiakini
story-image
Beberapa calon Perikatan Nasional (PN) memilih untuk menawarkan imej gabungan itu yang lebih lembut, yang mampu mentadbir negeri secara berbeza bergantung kepada demografinya.

Semalam, pemangku Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan Tang Jay Son, yang bertanding kerusi majoriti Cina di Chuah, berkata bahawa tidak akan ada larangan premis perjudian di negeri itu sekiranya PN mengambil alih pentadbiran negeri.

Tang berkata tidak seperti Kedah, Negeri Sembilan mempunyai penduduk bukan Islam yang besar dan oleh itu dasar PN untuk kedua-dua negeri akan berbeza.

“Penduduk muslim di Kedah melebihi 80 peratus, jadi kerajaan tempatan mengambil majoriti etnik sebagai pertimbangan utama dalam menggubal dasar negeri.

"Tetapi di Chuah, pengundi Cina melebihi 57 peratus. Dalam keadaan berbilang kaum, dasar mesti mengambil kira kepelbagaian dan saling menghormati.

“Kedah dan Terengganu mempunyai penduduk majoriti Islam, jadi dasar kerajaan tempatan akan memihak kepada kumpulan etnik majoriti, tetapi di sini (Chuah) berbeza,” katanya, seperti dilapor The Star.

Mengikut angka Banci 2020, 36.7 peratus penduduk Negeri Sembilan terdiri daripada bukan Islam.

Tang berkata peranan Gerakan dalam PN adalah untuk menyediakan semak dan imbang serta mengakui terdapat pengundi di kawasannya yang prihatin dengan cita-cita teokratik PAS.

“Jika ada dasar yang kelihatan tidak menguntungkan kaum lain, kami akan menggesa sekutu kami untuk memperbetulkannya dan memastikan pendekatan yang seimbang, dan kami akan mengingatkan PAS untuk mentadbir secara adil,” kata Tang yang juga seorang peguam.

Tang, 49, berdepan pencabar Yew Boon Lye dari Pakatan Harapan, 52, yang merupakan bekas ahli majlis perbandaran Klang.

Sementara itu, calon PN Rantau Rozmal Malakan berkata terdapat persepsi bahawa gabungannya hanya mewakili orang Melayu dan ini perlu diubah.

Dia berkata satu-satunya cara untuk berbuat demikian ialah melibatkan orang ramai secara aktif.

“Mungkin bagi mereka yang tidak menerima kami dahulu, kerana kami tidak turun padang untuk berhubung secara langsung.

"Kita dimomokkan dahulu, dan orang India dan Cina tidak dapat menerima kami.

“Dan apabila itu berlaku, tumpuan diberikan kepada pengundi Melayu sebaliknya. Ini tidak betul, dan kita perlu pergi dan tunjukkan diri kita.

“Saya harap calon-calon lain dari PN akan keluar bertemu rakyat. Mereka sedang menunggu,” katanya, menurut The Star.

Rozmal, 58, merupakan bekas tokoh korporat dan kini merupakan timbalan ketua PAS bahagian Rembau.

Dia berdepan penyandang empat penggal Mohamad Hasan, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan dan timbalan presiden Umno.

Tiada ulasan: