AHMAD SYAHIR KASSIM
BEKAS Pengarah Pembangunan Remaja Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek meluahkan rasa terkilan dan kecewa kerana penamatan kontraknya dibuat tanpa persetujuan bersama.
Jurulatih berpengalaman itu mendakwa kenyataan yang dibuat oleh badan induk badminton negara tersebut bertentangan dengan apa yang mereka maklumkan kepada media sebelum ini.
“Dua tiga hari saya fikir dan cuba cari ketenangan sebelum buat kenyataan media ini.
“Tujuan utama saya mahu perbetulkan kenyataan yang mana saya diberitahu saya bersetuju (penamatan kontrak) padahal tidak, saya tak diberitahu,” katanya dalam satu sidang media khas di Kuala Lumpur pada Isnin.
Malah Misbun mendakwa diberhentikan tanpa sebarang pembelaan dan perbincangan yang sewajarnya, sebaliknya keputusan seolah-olah sudah dibuat lebih awal.
“Saya diberitahu dengan keputusan yang mereka telah buat.
Tak betul saya tak setuju, tapi keputusan sudah dibuat, saya akur dan terima sahaja,” katanya.
Terdahulu, dalam satu sidang akhbar khas yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Jumaat, BAM memutuskan menamatkan kontrak Misbun lebih awal berbanding pada Disember.
Keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam bersama kesemua jurulatih dan pemain skuad remaja negara pada Rabu lalu.
Misbun turut menjelaskan mesyuarat yang diadakan tersebut bertujuan membentangkan hasil bedah siasat kegagalan skuad negara pada Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jogjakarta, Indonesia awal bulan lalu.
“Sebab masa mesyuarat tempoh hari, saya dipanggil dan dimaklumkan bahawa 'saya tidak lagi perlu datang kerja esok' dan diberhenti serta-merta atas alasan tidak berjaya.
“Rasa terkilan dan kecewa.
Tiada sebarang pembelaan yang saya boleh buat.
“Apa salahnya jika mereka bagi saya peluang teruskan hingga ke Kejohanan Dunia.
Tinggal beberapa bulan lagi. Tetapi saya tak diberi peluang untuk bercakap dan runding,” katanya.
Malah Misbun turut mempersoalkan seolah-olah beliau seperti menjadi mangsa dipersalahkan di atas kegagalan keseluruhan kem badminton negara pada kejohanan tersebut, sedangkan beliau bertanggungjawab ke atas pemain perseorangan.
“Kenapa pula saya menjadi sasaran di atas kegagalan keseluruhan pasukan.
Walhal saya hanya jaga single (perseorangan).
“Kenapa pula saya jadi sasaran.
Beregu pun tak berjaya,” katanya.
Jurulatih berusia 63 tahun itu turut mendedahkan tahap keberkesanan program latihannya seakan dinilai sebagai tidak berkesan kerana sering diganggu oleh pihak pengurusan BAM.
“Kalau mereka kata model latihan saya outdated (ketinggalan zaman), tapi saya sudah buktikan.
Saya lahirkan tiga pemain nombor satu dunia (Datuk Lee Chong Wei, Roslin Hashim dan Wong Choong Hann).
“Saya guna model yang sama.
Disiplin, kecergasan, taktikal dan smash,” katanya.
Dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jogjakarta, Indonesia awal bulan lalu skuad negara terkandas di peringkat suku akhir dalam saingan berpasukan campuran, sementara tiada satu wakil negara berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir acara individu.
Ia adalah kegagalan kedua skuad remaja negara di bawah kendalian Misbun selepas prestasi kurang memberangsangkan ditampilkan ketika menyertai Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Santander, Sepanyol tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan