Isabelle Leong & Raveena Nagotra
Tidak jauh dari perlawanan bola sepak persahabatan yang disertai Muhammad Sanusi Md Nor di Stadium Darul Aman di Alor Setar, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berusaha meraih sokongan bagi melawan menteri besar sementara Kedah itu dalam PRN pada 12 Ogos ini.
Sejumlah 3,000 penyokong dan pemerhati, merangkumi pelbagai kaum, memenuhi tempat ceramah dan memberi sambutan meriah kepada Anwar malam tadi. Ia merupakan lokasi ketiga Anwar di Kedah semalam.
Sentuhan Anwar nampaknya memang diperlukan dalam kempen PH-BN di Kedah, memandangkan dua gabungan itu tiada tokoh popular yang dapat menyaingi Sanusi.
Usaha Anwar bermula di laman Sanusi sendiri iaitu di DUN Jeneri. Dia tiba dengan helikopter kerajaan di Felda Teloi Timur, semalam.
Seramai 1,500 hadirin - sebahagiannya dibawa dengan 20 buah bas - menyertai Karnival Segalanya Felda bagi mendengar ucapannya.
Pada kira-kira jam 5.53 petang, ramai kanak-kanak dilihat teruja dan berkumpul di padang berdekatan untuk menyaksikan helikopternya mendarat.
Mereka kemudian berlari menuju Anwar, yang berpakaian baju Melayu biru muda dan songkok, untuk bergambar dengannya.
Walaupun ada pegawai menawarkan untuk membawanya ke khemah program, dia memilih untuk berjalan kaki sambil menyapa penduduk yang berada di situ.
Di atas kertas, Felda Teloi Timur bukanlah kawasan PH-BN, apabila sejumlah 58 peratus pengundi memilih PN pada PRU15.
Namun, ia merupakan satu daripada empat pusat daerah mengundi (PDM) di mana pengundi yang lebih tua berpihak kepada PH-BN (72.5 peratus).
Mungkin sedar dengan hal itu, kandungan ucapan Anwar kebanyakannya menyentuh hal-hal seharian yang dihadapi penduduk di Felda dan menegaskan komitmennya untuk memantau dan menyelesaikannya.
Dia antara lain memberi jaminan Felda akan kekal di bawah Jabatan Perdana Menteri sehinggalah masalah-masalah berkaitannya diselesaikan.
“La ni Felda di bawah perdana menteri, sebabnya kerana masalah banyak dan saya tak mahu ambil sikit-sikit untuk selesaikan.
“Saya dah bagi mandat penuh kepada pengerusi Felda yang baru (Ahmad Shabery Cheek) kerana saya tahu dia ada keupayaan dan dia serius nak selesaikan masalah ini.
“…dan saya beritahu dia, saya kata jalan saja, kalau ada masalah bagitahu saya dan insya-Allah, saya akan cuba bawa perubahan sedaya upaya,” katanya.
Anwar turut membangkitkan isu harga getah sekerap - sumber pendapatan utama penduduk di Jeneri dan Sik - dengan berkata dia telah menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram ketika membentangkan Belanjawan 2023.
Namun, dia berkata tidak boleh membuat pengumuman baru berkenaan harga pasaran getah sekerap semasa kempen, untuk mengelakkan masalah dengan SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Terdahulu, beberapa penoreh di Sik mengeluh berkenaan penurunan harga getah sekerap, yang pada masa ini pada kadar RM2.25 sekilogram.
Mengulas keluhan itu, Sanusi berkata kerajaan negeri tiada kuasa untuk mengawal harga komoditi itu kerana ia ditentukan oleh agensi di bawah kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun, Lembaga Getah Malaysia (LGM) menjelaskan pihaknya tiada kuasa untuk menetapkan harga getah namun pada masa telah melaksanakan inisiatif agar pekebun kecil mendapat harga yang lebih baik.
Ketika berceramah di Felda Teloi Timur, Anwar turut menyenaraikan pencapaiannya dalam membantu peneroka sejak menjadi perdana menteri - antaranya pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion, menyediakan akses internet yang lebih baik, memperbaiki sekolah yang usang serta memasang lampu jalan.
"...berpuluh tahun (masalah ini), kita selesaikan baru berapa bulan? Lapan bulan, bayangkan kalau kita boleh pegang lima tahun,” katanya.
Isu pelupusan hutang menjadi pertikaian antara Anwar dengan Muhyiddin Yassin, dengan bekas perdana menteri itu mendakwa dia yang melupuskannya pada 2021.
Anwar turut menyerang Sanusi dengan berkata dia gagal menyelesaikan isu peneroka selepas kira-kira tiga tahun mentadbir Kedah.
Kira-kira jam 7.20 petang, Anwar bergerak ke Jitra - kira-kira 90 km dari situ - untuk menghadiri acara PH-BN yang dihadiri kira-kira 500 orang.
DUN Jitra disandang Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir yang tidak bertanding dalam PRN ini.
Dia tetap serius sepanjang program di Jitra, berbeza dengan lokasi ketiganya iaitu di Alor Setar.
Walau dengan jadual yang ketat, bermula jam 10 pagi di Kuala Lumpur, presiden PKR itu tampak bersemangat ketika tiba di lokasi ketiga kempennya.
Kali ini pendekatannya lebih santai ketika berceramah, dengan berjenaka yang disambut sorakan kira-kira 3,000 hadirin.
Dia turut berbahasa Mandarin ketika menyampaikan pesanan kepada pengundi Cina yang hadir, serta menyatakan betapa dialek tersebut adalah bahasa ekonomi di rantau ini.
Dalam ucapannya, yang dibuat di kawasan DUN Alor Mengkudu, Anwar cuba meyakinkan hadirin terhadap kerjasama BN-PH, antaranya dengan mengenakan jaket bewarna biru dan merah - warna yang sinonim dengan dua gabungan itu.
Rentak bertenaga Anwar diteruskan ketika tiba di Kupang, lokasi terakhir kempennya. Di sana, seramai 5,000 hadirin telah menunggu ketibaannya.
Ia diadakan di sekitar kawasan pasar malam, di lokasi yang mudah dihadiri pengundi DUN Kupang, Kuala Ketil serta kalangan yang tinggal di kawasan selatan Jeneri dan Belantek.
PN meraih paling kurang 60 peratus undi di kawasan-kawasan ini pada PRU lalu.
Sementara pendekatan Anwar berbeza dengan dua lokasi pertama, kebanyakan isu yang disampaikannya adalah sama.
Ia termasuklah penekanan terhadap rancangan untuk membangunkan ekonomi Kedah.
Membangkitkan Kedah yang menjadi antara negeri termiskin di Malaysia, Anwar berkata pendekatan segera - seperti menarik pelaburan - perlu dilakukan bagi memperbaiki kehidupan penduduk.
Ia termasuklah pelaburan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (TTTK) yang didakwa Anwar hasil usahanya, iaitu pelaburan RM29.4 bilion daripada Infineon Technologies AG untuk lima tahun akan datang.
Katanya, pelaburan tambahan menunjukkan keyakinan gergasi teknologi Jerman itu terhadap kestabilan kerajaan gabungan.
Bagaimanapun, ia mungkin menjadi satu lagi topik pertikaian antara Anwar dan Sanusi.
Pada Mei tahun lalu, Sanusi mengumumkan TTTK berjaya mendapatkan pelaburan berjumlah RM20 bilion dalam tempoh lima tahun pertama tahun lalu, jaun meninggalkan sasaran pelaburan tahunan sebanyak RM10 bilion untuk Kedah pada tahun itu.
Pada bulan lalu, Sanusi juga berkata Kedah menerima pelaburan berjumlah RM5 bilion untuk suku pertama tahun ini, menjadikan jumlah pelaburan keseluruhan melepasi sasaran RM10 bilion setahun, disebabkan keyakinan dalam kalangan komuniti perindustrian.
Usaha pecah 'gelombang Sanusi'
Hubungan antara Anwar dan Sanusi kelihatan tegang sejak beberapa waktu, dengan Sanusi mendakwa Kedah dipinggirkan oleh persekutuan.
Sanusi juga menyindir gambar ikonik Anwar mengangkat tangannya ketika era Reformasi. Dia mengajuk gaya itu ketika didakwa atas dua pertuduhan menghasut sebelum ini, dan meneruskannya sepanjang kempen PRN.
Semalam adalah peluang Anwar untuk membalas serangan Sanusi - yang juga pengarah pilihan raya PN - di kubunya sendiri.
Dalam ucapannya, Anwar membidas Sanusi, antaranya dengan berkata dia seharusnya menjaga kata-kata memandangkan ia telah menyebabkannya dihadapkan dengan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan.
"Hang (Sanusi) langgar raja, hang maki aku hari-hari, okay buat sementara ini.
"Hang langgar raja, hang masuk mahkamah kemudian masuk jel. Bilik (penjara) aku dulu (kini) kosong," katanya ketika ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Kupang malam tadi, disambut sorakan hadirin.
Mesej itu disambut baik, antaranya oleh Mad Daud Abdul Rahman, yang ditemui Malaysiakini selepas ceramah berakhir.
Lelaki berusia 59 tahun itu, yang berpakaian jubah dan kopiah, berkata dia beralih sokongan kepada PH-BN selepas PRU lalu.
"Dulu saya penyokong tegar PAS, tetapi sekarang kurang yakin pada PN dan PAS. Kita ini (amal) politik matang.
"Tengok pada kes mahkamah, kes rasuah. Bila mereka (pemimpin PN) ada kuasa dari segi kewangan dan pengurusan, mereka buat benda salah," kata pengendali pusat tahfiz itu.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kini berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM232 juta.
Pertuduhan itu berkait dengan program Jana Wibawa yang diperkenalkan ketika dia menjadi perdana menteri pada 2020. Program itu bertujuan membantu perniagaan bumiputera yang terkesan dengan wabak Covid-19.
Pemimpin PN lain yang turut berdepan pertuduhan berkaitan Jana Wibawa adalah bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan timbalan pengerusi Bersatu Segambut Adam Radlan Adam.
Usaha Anwar untuk meningkatkan sokongan kepada PH-BN dan merampas Kedah daripada PN hanya akan diketahui pada 12 Ogos ini.
Buat masa ini, dia akan meneruskan kempen di negeri lain dan hari ini dia menyertai beberapa acara kempen di Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan