FMT Reporters
PETALING JAYA: Saifuddin Nasution Ismail mendakwa memiliki gambar menunjukkan Sanusi Nor ketika menjadi menteri besar tahu mengenai kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Menteri dalam negeri itu mendedahkan gambar tersebut pada sidang media petang tadi, yang menunjukan Sanusi mengadakan lawatan tapak dikatakan di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik pada 19 Feb.
Bagaimanapun, tiada tindakan diambil berkaitan perkara itu, kata Saifuddin menurut Sinar Harian.
“Dia tengok sendiri bagaimana kemusnahan kawasan, bagaimana cari gali yang secara intensif dilakukan,” kata Saifuddin di bilik gerakan DUN Jitra.
“Namun dari tarikh itu tiada tindakan yang benar-benar serius telah diambil oleh beliau setelah usai lawatan ke lokasi kejadian.”
Sementara itu, Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR berkata beliau tidak gentar dengan ugutan Sanusi untuk memfailkan saman terhadapnya, berkait dakwaan-dakwaan berkenaan.
Awal minggu ini, Saifuddin menunjukkan gambar Sanusi bersama seorang individu yang dikatakan bernama So Loi Fat, yang didakwa salah seorang daripada dua individu berkemahiran dibawa masuk oleh Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) untuk melombong REE.
Saifuddin menunjukkan surat yang dikatakan ditandatangani oleh CEO MBI Kedah, Sobri Osman yang menamakan dua warga China, termasuk So.
Sanusi menjelaskan bahawa warga China itu mempunyai urusan dengan MBI Kedah dan perjanjian untuk melombong REE sebelum beliau menjadi menteri besar.
Pemimpin PAS itu turut mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim pernah memperkenalkan seorang warga Indonesia kepada prospek melombong REE di Kedah.
Katanya, Anwar dan warga Indonesia itu melawat Kedah beberapa minggu sebelum DUN dibubarkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan